Rabu, 24 Februari 2010

Kementerian Pelajaran tak perlu anjur kursus jika kurang bajet

SAYA setuju Kementerian Pelajaran mengamalkan perbelanjaan berhemah kerana mahu semua kementerian dan badan lain tidak membazir dan tiada ketirisan kewangan negara.

Saya tertarik dengan dua berita yang disiarkan akhbar menyatakan guru makan nasi bungkus ketika kursus serta Ketua Pengarah Pelajaran sendiri mengadakan program kementerian di sebuah sekolah, bukan di hotel.

Saya antara panel mesyuarat dan bengkel yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Damansara baru-baru ini turut mengalami nasib sama.

Saya tidak kisah untuk berulang-alik dari rumah di Klang, Selangor ke BTP untuk menghadiri mesyuarat yang bermula pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Malangnya, kami hanya disediakan biskut kering dan air panas untuk dibancuh dengan minuman 3+1 sebagai sarapan.

Namun, ada panel yang tidak sesuai mengambil menu berkenaan kerana menghidap diabetes. Adakah ini langkah penjimatan terbaik diambil Kementerian Pelajaran?

Oleh kerana makan tengah hari tidak disediakan, kami keluar mencari gerai, malah terpaksa ke kawasan yang sukar mendapat tempat letak kereta.

Minum petang pula sama menunya dengan sarapan dan dihidangkan dengan kacang goreng.

Saya mencadangkan kalau Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kemudahan dan kewangan jangan anjur mesyuarat, bengkel atau kursus untuk mengelak pegawai perkhidmatan pelajaran atau guru teraniaya dan rasa terhina.

Saya bimbang kegiatan kokurikulum yang mungkin diadakan turut membebankan guru yang ditugaskan membawa pelajar ke lokasi pertandingan.

Saya turut bimbang kenderaan rasmi dan peribadi guru menjadi pengangkutan pelajar menyertai sesuatu pertandingan tanpa dibayar sesen pun.

Saya mohon agar kesatuan guru meneliti kebajikan kami dan jangan cuma untuk meningkatkan profesion keguruan sedangkan guru dilayan bagai pegawai kelas bawahan.

Janganlah tenaga guru diperah, namun kebajikan mereka tidak dijaga.

PEGAWAI KERAJAAN KUMPULAN A,
Klang,
Selangor.

Berita Harian Online: 24 Februari 2010

3 ulasan:

pak long berkata...

dulu dah senang banyak...
kini tiba la masa susah...

bakal guru berkata...

anak murid semua, guru wajib jaga kebajikan semasa bawa mereka keluar aktiviti koko, guru pula tak perlu ke dijaga kebajikan mereka? inikah kepimpinan melalui teladan yg selalu diuar2kan?
kesia gru2 skrg,dahla claim perbatuan layak mohon,tpi tak layak dapat,diskriminasi yg pelbagai.agak2 pak2 menteri takleh claim lgi ke mileage diorg?

Tanpa Nama berkata...

sekarang sudah zaman internet, buatlah mesyuarat dengan internet conference meeting (kalaulah schoolnet elok pada hari berkenaan), jika hadir kursus hanya untuk menonton ppt slideshow, biar upload dan arahkan semua downloadkan dan tontonlah di rumah(boleh juga jimat kos elektrik di pejabat/sekolah).