Tulisan Akmal Fairuz dalam ruangan ini baru-baru ini bertajuk 'Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran' ternyata salah, menyimpang dan amat bahaya, jika menjadi pegangan serta amalan.
Guru berbeza daripada kerjaya profesional lain kerana mereka ialah ejen sosialisasi masyarakat yakni 'menginsankan' individu dan memasyarakatkan manusia. Hal ini terkandung secara nyata dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Saudara Akmal Fairuz mungkin teruja dengan teori pengkhususan yang menjadi begitu popular di kalangan pengamal ekonomi industri.
Menurut teori ini, jika seseorang hanya melakukan sebahagian kecil daripada produk tertentu, maka produk keseluruhannya dapat dioptimumkan.
Hal ini ternyata berjaya dalam industri pembuatan, misalnya industri kenderaan. Bahagian kenderaan tertentu diusahakan secara khusus dalam industri berbeza. Kesan akhirnya, kenderaan yang dikeluarkan bertambah dari semasa ke semasa.
Pendekatan teori ini tidak boleh dipraktikkan di sekolah kerana ia bukan kilang atau industri yang memproses manusia untuk menjadi seperti yang kita harapkan.
Proses tumbesaran dan menjadikan manusia amat berbeza dan kompleks sifatnya.
Jika guru bahasa sekadar mengajar bahasa atau guru pendidikan jasmani sekadar mengajar Pendidikan Jasmani, kesudahannya kerja berkaitan dengan sifat manusia dan kemanusiaan murid bagaimana pula?
Siapa yang akan bertanggungjawab hal berkaitan pembangunan jiwa, emosi, kebajikan dan soal berkaitan potensi, bakat, minat serta kecenderungan murid? Paling penting murid yang belajar bahasa tidak semestinya menjadi pakar bahasa. Demikian juga, murid yang belajar Matematik belum tentu menjadi pakar matematik.
Sehubungan itu sama ada mahu atau tidak, guru perlu melakukan kerja pentadbiran supaya aspek pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan kecekapan murid dalam bidang tertentu dapat dibentuk bersama di kalangan mereka.
Paling penting, Akmal Fairuz dan rakan guru sepertinya perlu faham jiwa pendidik tulen terdahulu. Akronim kata, 'guru' yakni 'Guru Untuk Rakyat Umum' sudah berakar umbi sejak lama dulu.
Guru melakukan apa saja yang terdaya untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Itulah sebenarnya kerja guru sejak dulu, kini dan insya-Allah akan begitulah selama-lamanya.
Guru berjiwa besar tidak saja berdepan dengan muridnya, sebaliknya perlu menghadapi ibu bapa dan masyarakat, berganding bahu dengan agensi masyarakat dan memberi sumbangan tenaga serta fikiran bernas ke arah membangunkan masyarakat dan negara ini.
Anda ditakdirkan menjadi guru, maka jadilah guru sebenar-benarnya untuk masyarakat dan negara.
DR ISMAIL ABD RAHMAN,
Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun,
Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.
Berita Harian Online: 10 Februari 2010
2 ulasan:
memetik artikel ini: "Jika guru bahasa sekadar mengajar bahasa atau guru pendidikan jasmani sekadar mengajar Pendidikan Jasmani, kesudahannya kerja berkaitan dengan sifat manusia dan kemanusiaan murid bagaimana pula?
Siapa yang akan bertanggungjawab hal berkaitan pembangunan jiwa, emosi, kebajikan dan soal berkaitan potensi, bakat, minat serta kecenderungan murid? Paling penting murid yang belajar bahasa tidak semestinya menjadi pakar bahasa. Demikian juga, murid yang belajar Matematik belum tentu menjadi pakar matematik".
Ulasan saya: Adakah kerja perkeranian guru itu dibuat bersama murid? jika tugas perkeranian tidak dibuat bersama murid, bagaimanakah kerja pentadbiran dan perkeranian itu boleh digunakan untuk mengenalpasti bakat murid yang bukan akademik? Hakikatnya, tugas perkeranian tidak dilakukan bersama murid. Contoh lain, jika guru menghadiri kursus tentang pengisian data dalam EMiS, bagaimanakah kehadiran guru ke kursus itu boleh mengenalpasti bakat murid?
Adakah anda pasti artikel itu ditulis oleh seorang Doktor? Doktor ini tidak benar-benar menjawab Akmal Fairuz, sebaliknya hanya menegakkan benang basah. Di mana buat PhD? Ternampak jelas Doktor ini tidak pernah menjadi guru sehingga tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dalam satu-satu proses P&P.
Sebenarnya tugas mengenalpasti bakat murid berlaku ketika proses P&P di dalam kelas, bukan semasa kerja perkeranian. Contohnya, ketika guru matematik memberi tugasan kumpulan, salah seorang murid dalam satu kumpulan tanpa disuruh mengambil tugas sebagai ketua. Murid ini akan menerangkan kepada ahli kumpulannya tentang tugasan yang diberi guru. Pada masa inilah guru akan mengenalpasti murid ini sebagai seorang yang mempunyai bakat kepimpinan.
Contoh lain, ketika matapelajaran pendidikan jasmani, seorang murid membantu rakan yang tercedera ketika bersukan. Ini ialah contoh sikap belas kasihan.
Satu lagi contoh, ketika guru kemahiran hidup memberi tugasan jahitan, ada murid menggunakan labuci atau renda untuk mencantikkan projek. Ini hasil sikap kreatif.
Saya sedikit pun tidak nampak bagaimana tugas pentadbiran dan perkeranian boleh membantu guru mengenalpasti bakat murid sebagaimana yang diterangkan oleh Doktor ini. Lainlah kalau tugasan perkeranian dan pentadbiran itu boleh dibuat bersama murid.
Tetapi ada isu lain. Bolehkah murid memasuki pejabat sekolah untuk membantu guru membuat kerja pentadbiran?
Boleh jelaskan dengan lebih lanjut maksud petikan artikel di atas?
Ternyatalah 'DR' ini cetek ilmu dan akalnya.
Catat Ulasan