Sabtu, 21 Februari 2009

British Council, SMK Desa Kencana jalin kerjasama tingkat penguasaan bahasa Inggeris

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


CONWAY membimbing dua guru SMK Desa Kencana menggunakan bahasa Inggeris secara berkesan.

GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana, Lahat Datu, Sabah berpeluang meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka menerusi khidmat kepakaran yang disediakan British Council.

Bagi tujuan itu, seorang guru yang berpengalaman lebih 22 tahun, Deidre Conway berada di sekolah pedalaman itu bagi membantu guru sekolah itu mempertingkat penguasaan bahasa mereka menerusi kegiatan yang dijalankan membabitkan kemahiran lisan, bacaan, tulisan dan komunikasi.

Pengurus Projek Pendidikan Bahasa Inggeris dan Pembangunan Perniagaan British Council, Tricia Thorlby, berkata khidmat itu selaras matlamat pihaknya untuk berkongsi kepakaran dan ilmu.


“Kami memiliki kepakaran dalam Bahasa Inggeris yakin konsep yang diperkenalkan mampu memberi manfaat kepada semua golongan, walaupun sekolah itu terletak di kawasan terpencil.

“Usaha British Council melatih guru bertujuan memperkukuhkan ikatan antara sistem pendidikan Malaysia dan United Kingdom di samping menyokong pembelajaran dan pendidikan bahasa antarabangsa itu di negara ini.

“Kami juga mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran, selain sokongan HSBC dan Time Engineering,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Desa Kencana, Mohd Adlan Mohd Shariffuddin, berkata khidmat British Council diperlukan kerana yakin tenaga pengajar yang disediakan mampu membantu guru meningkatkan kualiti pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Guru sekolah berkenaan, Arania Rasid, menganggap latihan diterima adalah pengalaman menyeronokkan, selain berpeluang memperbaiki sebutan dan meningkatkan keyakinannya untuk berkomunikasi dalam bahasa itu.

Katanya, program itu memberi pelbagai idea menarik yang akan dikongsi dengan pelajarnya di dalam kelas.

Berita Harian Online: 20 Februari 2009

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pengetua smk desa kencana en ganesan manickam. bukan en mohd adlan.. harap maklum... dah tersalah orang nie... yang lain semua betul kecuali nama pengetua..

Tanpa Nama berkata...

betul ke cg adlan dah jadi pengetua??????cg ganesan mane???