Jumaat, 26 Februari 2010

Kerenah guru enggan mengajar di pedalaman tidak boleh dilayan

Oleh Mohamad Muda

KEMENTERIAN Pelajaran mungkin tidak membuat cadangan mewajibkan guru baru bertugas di pedalaman selama tiga tahun jika golongan itu sejak awal lagi menyedari tanggungjawab, amanah yang perlu dilaksana serta menjadikan perkhidmatan sebagai keutamaan. Tetapi apa yang berlaku, ada guru baru enggan bertugas di sekolah luar bandar atau pedalaman. Ini bukan isu baru sebaliknya sejak berdekad lalu hingga menyebabkan murid di kawasan itu menjadi mangsa dan tercicir dalam pelajaran kerana kekurangan guru terlatih.

Sehubungan itu, cadangan Kementerian Pelajaran dilihat wajar dilaksanakan. Seperti kata Timbalan Menterinya, Dr Puad Zarkashi, baru-baru ini, pihaknya tidak akan menempatkan guru baru di bandar atau berhampiran tempat tinggal seperti sekarang.

Laporan akhbar yang memetik beliau sebagai berkata, biar mereka tahu bagaimana pengalaman bekerja sebagai pendidik terutama di pedalaman yang kadang kala memerlukan kesabaran berikutan kesukaran hidup di kawasan itu.

Malah, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sejak awal lagi mencadangkan perkara sama bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar di pedalaman.

Cadangan kementerian jika dilaksanakan disifatkan antara langkah terbaik membendung masalah guru enggan bertugas di pedalaman yang kini dilihat gejala baru dalam sistem perkhidmatan berkenaan.

Sesetengahnya dikatakan berusaha gigih bukan bagi memberi perkhidmatan terbaik, tetapi menggunakan saluran tertentu atau orang berpengaruh supaya tidak ditempatkan di kawasan terbabit atau merayu pertukaran.

Dalam hal ini, dipercayai ia berpunca segelintir guru bersikap ‘pentingkan diri’ hingga menjadikan suasananya seperti kata peribahasa ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ serta mendorong orang lain tidak berhasrat berbuat demikian akhirnya turut melakukan perkara sama.

Hakikatnya, sebahagian besar guru baru ditempatkan di luar bandar atau pedalaman tidak bersikap demikian sebaliknya berusaha sedaya mampu menjalankan tanggungjawab diamanah selaras dengan niat mahu mendidik anak bangsa.

Menghadapi pelbagai masalah peribadi termasuk berjauhan dengan isteri mahupun suami baru saja dinikahi, demikian kenyataan dilalui beberapa guru dari Semenanjung dan Sabah yang sempat ditemui penulis di beberapa sekolah rendah di pedalaman daerah Tatau di utara Sarawak, baru-baru ini.

Madah menyebut guru ibarat lilin - membakar diri demi menerangi orang lain, amat berasas kerana mereka langsung tidak menjadikan kekurangan infrastruktur, kesukaran atau ketidakselesaan hidup di pedalaman sebagai penghalang tugas.

“Jika saya tidak ke sini, guru lain pun tidak mahu datang. Soalannya mudah - siapa yang akan mengajar di luar bandar atau pedalaman? Pada hal kita tahu bahawa murid di sini juga perlukan pendidikan sewajarnya.

“Bagi saya sebagai guru diberi tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa, pelbagai kesukaran dihadapi tidak harus dijadikan penghalang, sebaliknya anggap ia cabaran dalam mematangkan diri.

“Tempat tidak seharusnya jadi keutamaan kerana sememangnya apabila dinamakan luar bandar atau pedalaman sifatnya tetap sama - banyak kekurangan berbanding bandar atau pekan. Yang penting, tunaikan janji sanggup berkhidmat di mana saja,” kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai, Hulu Kakus dekat Tatau, Ahmad Rusmainey Borhan, 25.

Guru lulusan Ijazah Pendidikan Sekolah Rendah, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang mengajar di sekolah kategori ‘Pedalaman Tiga’ sejak awal bulan lalu itu berkata, sama ada di bandar atau luar bandar, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

Sambil menjelaskan terpulang kepada niat, beliau berkata, segala masalah dihadapi sepatutnya dijadikan cabaran terutama bagi perantau, bukannya alasan tidak menjalankan tanggungjawab hakiki memberi pendidikan terbaik.

Ahmad Rusmainey berasal dari Banting, Selangor berkata, beliau dan beberapa guru negeri lain, termasuk enam wanita dari Semenanjung tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang berkhidmat di sekolah itu.

“Selepas sampai di sini dan melihat persekitaran, saya hairan kenapa ada guru enggan mengajar di Sarawak lebih-lebih lagi di pedalaman. Walaupun jauh, keadaan di sini sekarang banyak berubah, malah terbaik berdasarkan status pedalaman. Guru yang enggan ke pedalaman, bagi saya mereka dalam kerugian kerana tidak dapat mengecapi kehidupan masyarakat setempat apatah lagi menimba pengalaman baru yang tidak ternilai.

“Lagi pun, kita tidak selama-lamanya mengajar di pedalaman. Saya percaya setahun dua atau tiba masanya akan ditukarkan ke tempat lain. Jadi, sementara masih belum ada tanggungjawab lain, apa salahnya kita timba pengalaman hidup di perantauan,” katanya yang sejak awal lagi memohon ditempatkan di pedalaman Sarawak.

Kenyataan Ahmad Rusmainey yang turut menyifatkan SK Nanga Penyarai dan kawasan sekitarnya antara terbaik berbanding pedalaman lain diketahuinya berasas kerana kini ada pelbagai kemudahan di sekolah berkenaan, termasuk rumah guru dengan bekalan elektrik 24 jam. Sekolah itu dipasang parabola untuk warganya mengakses internet bagi mengetahui perkembangan semasa dunia luar selain mendengar berita dan maklumat terkini serta sumber hiburan menerusi pelbagai saluran Astro.

Untuk mendapat bekalan makanan, mereka menaiki bot antara satu setengah hingga dua jam ke pekan kecil terdekat iaitu Sangan Iban jika tidak mahu menggunakan kenderaan darat melalui jalan balak. Jika tidak ke Sangan Iban, mereka ke Tatau yang menjadi pusat pentadbiran daerah hanya kira-kira 30 minit menaiki kenderaan darat.

Berbanding hampir tiga dekad lalu, ketika itu penulis mengajar di SK Rumah Barrau terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan bot dari SK Nanga Penyarai menyusuri sungai berbeza, dari pekan Tatau ke Sangan Iban saja atau sebaliknya mengambil masa kira-kira dua jam setengah. Dua tahun di sekolah itu mulai 1982, bukan saja tiada bekalan elektrik, malah banyak kesukaran lain. Jika ada pun menumpang rumah panjang berdekatan yang menggunakan generator mulai jam 6.30 petang hingga 9 malam saja.

Kini semua sekolah di pedalaman Tatau boleh dikatakan mengalami perubahan termasuk disediakan pengangkutan iaitu bot panjang dengan enjin 30 kuasa kuda. Lebih mengejutkan tiada lagi mandi di sungai kerana airnya disedut ke rumah atau tempat khas.

Terdahulu ketika singgah di SK Keseng yang dikategorikan ‘Pedalaman Dua’ terletak ke hilir kira-kira satu jam setengah perjalanan bot dari SK Nanga Penyarai, sekolah itu nampak ceria dengan pelbagai pembaharuan dan kemudahan. Kedudukannya cuma setengah jam menaiki bot jika tidak mahu menggunakan jalan balak ke Sangan Iban, seterusnya menaiki kereta ke Tatau atau Bintulu.

Seorang gurunya, Subry Jaafar, 29, berkata beliau tidak lagi bimbang seperti dirasai ketika menerima surat penempatan ke pedalaman Sarawak selepas hampir dua bulan mengajar di sekolah itu. “Kebimbangan ini berpunca tidak mendapat gambaran sebenar mengenai tempat mengajar. Selepas seminggu, saya dapat menerima hakikat dan membiasakan serta menyesuai diri dengan keadaan setempat. Dengan bantuan rakan setugas serta sokongan pentadbir sekolah khususnya guru besar, saya tidak menghadapi masalah menjalankan tugas.

“Matlamat saya kini tiada lain melainkan menjalankan tugas diamanahkan dengan rasa tanggungjawab dan penuh dedikasi,” kata lulusan Universiti Putra Malaysia yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh itu.

Walaupun sedih kerana terpaksa berpisah dengan keluarga, terutama isteri yang kini mengandung anak pertama di Melaka, Subry berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, jarak tidak menghalang beliau menelefon mereka setiap hari. Rakannya, Abdul Mutalib Simah, 28, dari Sabah pula seronok mengajar di sekolah itu kerana mempunyai pelbagai kemudahan sesuai dengan keadaan tempatnya untuk menyumbang bakti.

“Saya tidak terasa sangat apabila ditempatkan di sekolah ini kerana sudah biasa merantau dan menganggap ia pengalaman baru. Matlamat saya sekarang menumpukan tugas, tambahan murid-murid di sini berpotensi maju,” kata lulusan Universiti Utara Malaysia dan KPLI di IPGM Kampus Pulau Pinang itu yang turut bertekad membantu membangunkan pendidikan sukan kerana muridnya berpotensi dalam olah raga dan renang.

Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan itu turut menasihatkan guru yang ditempatkan ke pedalaman Sarawak jangan bimbang dengan cerita didengar, sebaliknya meminta mereka melapor diri dulu dan menilai sendiri keadaan sebenar.

Beberapa orang daripada enam guru wanita dari Semenanjung yang mengajar di sekolah itu sejak setahun lalu ketika disapa sambil tersenyum berkata: “Di sini ok, datang dulu... baru tahu.”

Berita Harian Online: 26 Februari 2010

1 ulasan:

petua herba berkata...

Sememangnya keadaan dulu dan sekarang dudah jauh berbeza.Saya sendiri pernah berkhidmat di SK ng penyarai dari tahun 1991-1994.Ketika itu memang amat payah.Tetapi kepayahan itu telah menjadikan kita sebenar-benar guru yang mendidik dan dididik mengenali alam ini.p/s jangan merungut jika ditempatkan di pedalaman,bulatkan tekad untuk anak bangsa.Saya sendiri sudah 13 tahun mengajar dipedalaman tanpa ada sesen pun elaun pedalaman seperti sekarang.Baru sekarang merasa mengajar di luar bandar.