Jumaat, 12 Februari 2010

Lapan murid perempuan dakwa dicabul ustaz gatal

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Perbuatan terbongkar selepas diadu kepada guru kaunseling

TANGKAK: Sekurang-kurang lapan murid perempuan Tahun Empat mendakwa menjadi mangsa cabul apabila bahagian paha dan alat sulit diraba serta buah dada mereka diramas oleh seorang ustaz yang mengajar al-Quran dalam kelas pendidikan Islam di sebuah sekolah, dekat sini, 1 Februari lalu.

Kejadian terbongkar selepas sekumpulan murid perempuan itu membuat aduan kepada guru kaunseling sekolah berkenaan mengenai perbuatan ustaz berusia 30-an berkenaan ketika sesi persekolahan kelmarin.

Berikutan itu, keluarga lapan murid terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8 malam kelmarin dan awal pagi semalam, dan semua murid berkenaan turut dibawa membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tangkak (HT).

Difahamkan, ramai lagi murid sekolah itu turut menjadi mangsa ustaz terbabit dan siasatan kini masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa.

Seorang ibu mangsa, berusia 41, berkata beliau tidak menyangka perubahan sikap anak bongsunya yang seolah-olah trauma dan takut untuk ke sekolah sejak awal tahun ini mempunyai kaitan dengan perbuatan ustaz yang didakwa mencabul anaknya.

Katanya, sebelum ini anaknya sering menangis dan memberi alasan tidak sihat untuk ke sekolah dan keadaan itu semakin ketara sejak awal bulan ini menyebabkan beliau menghantar anaknya mendapatkan rawatan di klinik swasta tetapi disahkan tidak menghidap sebarang penyakit.

"Akhirnya selepas berulang kali dipujuk, akhirnya anak saya mendedahkan bahawa seorang ustaz di sekolahnya meraba badannya dan meramas buah dadanya sehingga beliau takut dan sering menangis," katanya di HT, di sini semalam.

Beliau berkata, anaknya turut memaklumkan bahawa ustaz itu sudah melakukan perbuatan itu sejak tahun lalu dan semakin serius sejak sesi persekolahan tahun ini sehingga menyebabkan anaknya sentiasa trauma untuk ke sekolah dan sering demam.

Seorang bapa mangsa, berusia 42, pula berkata perbuatan ustaz itu terbongkar selepas anaknya bersama beberapa lagi rakannya mengadu kepada seorang guru kaunseling sekolah berkenaan.

Katanya, anaknya mendakwa ustaz itu merabanya sehingga paha ketika mengajar kelas tambahan untuk meningkatkan kemahiran membaca al-Quran yang diadakan pada setiap Isnin.

"Susulan itu saya menghubungi ibu bapa keluarga lain yang kemudian turut dimaklumkan bahawa anak mereka turut menjadi mangsa ustaz yang turut digelar sebagai ustaz gatal di sekolah berkenaan menyebabkan mereka bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu dan siasatan sedang dijalankan.

Berita Harian Online: 12 Februari 2010

2 ulasan:

Makmal Perguruan Ibubapa berkata...

Nafsu mengatasi segalanya. Guru atau ustaz adalah manusia yang mempunyai nafsu. Nafsu pula ada yang boleh dibendung dan ada yang tidak mampu dibendung.

Seorang guru atau usataz pelu membendung nafsu mereka kerana mereka adalah orang kepercayaan.

Orang yang nampak alim seperti ustaz khususnya dipandang mulia oleh manusia. Tetapi dalam kelompok mereka terdapat sebilangan yang tumpas kepada nafsu. Banyak sudah berita yang mengaitkan golongan ini mencabul malahan merogol. Untuk membendungnya amat sukar kerana mereka berselindung disebaliksongkok dan kopiah yang dipakai. Mereka ini adalah golongan yang dipanggil munafik kerana tidak bertindak seperti yang diperkatakan.

Perkara ini memang sukar untuk diatasi kerana hanya individu yang terlibat sahaja yang boleh membendung masalah ini. Jika tidak mampu membendung nafsu, letaklah jawatan kerana anda menyumbang kepada menjatuhkan imej perguruan.

ikhlas,

http://reformasimindaguru.blogspot.com

samsularifin berkata...

banyak tol la kes guru cabul pelajar ni ye aku rasa baik kerajaan amik tindakan serius takut nanti sekolah kosong sebab mak bapak dah tak berani nak anta anak kat sekolah lg