Rabu, 3 Mac 2010

Mohd Puad kagum semangat kental pendidik di SK Saliliran

TIMBALAN Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berhasrat mengunjungi Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran di pedalaman Sabah selepas membaca mengenainya di dalam Facebook dengan gambaran betapa cabaran ditempuhi untuk berkunjung ke situ.

Ketika berucap di hadapan guru dan murid sekolah itu, beliau mengaku empat kali terbaring di rumput kerana kepenatan sepanjang perjalanan. "Saya mahu melawat SK Saliliran selepas tertarik dengan maklumat Cikgu Hamzah Abdul Kadir dari Kluang (Johor) yang menulis dalam Facebook mengenai keadaan Kampung Saliliran dan sekolah ini.

Saya mahu tahu sendiri keadaannya dan itu menguatkan semangat saya merentasi cabaran di laluan darat, sungai dan belantara.

"Inilah kali pertama saya berjalan dalam belantara pada waktu malam. Saya terkejut apabila mengetahui perjalanan ini terlalu jauh. Empat kali saya terbaring di rumput. Saat itu saya rasakan macam tak boleh sampai. Kalau boleh terbang, memang saya terbang. Bagaimanapun, saya teruskan juga demi penduduk Kampung Saliliran dan anak-anak di sini," katanya sambil menyifatkan tugas sebagai Timbalan Menteri Pelajaran bagaikan lengkap selepas melawat SK Saliliran.

Mungkin kerana pernah menjadi pemimpin pelajar, maka isu pendidikan begitu menebal di jiwa Mohd Puad. Beliau meminta ibu bapa di situ berjanji untuk terus menghantar anak mereka ke sekolah dan sebagai galang-ganti, beliau akan berusaha meningkatkan kemudahan termasuk asrama desa demi kemudahan murid di sekolah yang dikategori sebagai Pedalaman 3 (P3) itu.

Beliau juga akan memastikan rumah guru dinaikkan taraf, selain mendapatkan bekalan air bersih serta pelaksanaan sekolah Komprehensif 9 (K9) iaitu sekolah rendah yang mempunyai kelas Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

Melihat wajah barisan guru SK Saliliran yang ceria mendidik 78 murid dan tersenyum sepanjang masa menerbitkan kekaguman tinggi saya terhadap mereka kerana tetap ikhlas berbakti walaupun terperosok di pedalaman Sabah.

Malah, saya dan tiga rakan wartawan lain benar-benar 'angkat topi' terhadap Mohd Puad kerana menjiwai sepenuhnya amanah sebagai pemimpin dengan bukan setakat turun padang, malah menuruni bukit, lurah dan lembah atas nama masa depan anak bangsa.

Sebak juga bersalaman dengan guru SK Saliliran sebelum pulang. Mohd Riduan Ahmad, 26, dari Batu Gajah, Perak, bersungguh-sungguh mengajak kami datang kembali minggu berikutnya untuk menyertai majlis barbeku.

Saya hanya tersenyum dan sempat berkata: "Bah, kita jumpa di Kota Kinabalu saja." Kami meninggalkan SK Saliliran kira-kira jam 11 pagi dan menjejak laluan sama sebelum tiba ke Kampung Sinapar pada jam 4 petang. Perjalanan disambung dengan berperahu selama dua jam sebelum tiba ke Pensiangan.

Kembara pacuan empat roda ke Keningau turut berdepan detik cemas apabila bertarung dengan laluan licin berlumpur dengan gaung di kanan jalan sebelum tiba di pekan Keningau kira-kira jam 11 malam.

Mohd Puad mempunyai pilihan untuk menaiki helikopter ke SK Saliliran tanpa perlu mengeluarkan setitik peluh, namun seperti katanya: "Jika guru boleh mengharungi semua itu, mengapa tidak Timbalan Menteri?"

Kata-kata azimat itu sewajarnya menyalakan sinar terang-benderang terhadap usaha memartabatkan agenda pendidikan negara.

Berita Harian Online: 3 Mac 2010

3 ulasan:

mzurs berkata...

Catatan ini sangat mnarik perhatian saya..ikuti catatan saya semasa menyertai rombongan tersebut di http://edu4u.edublogs.org/2010/02/25/lawatan-kali-saya-ke-2-di-sk-saliliran-nabawan-pensiangan/

Terima kasih

Tanpa Nama berkata...

emm..kalu sekali seumur hidup ke melalui pengalaman mencabar tu, kira bolehla...tapi kalau seumur hidup melalui onak dan cabaran sebegitu rupa...?

Tanpa Nama berkata...

itulah, orang bawahan yang berkerja keras, diminta itu ini, onlinelah, mesyuaratlah dan banyak lagi...tp orang atasan macam senang saja....benar orang bawahan berkerja orang atasan dapat DATUK.