Selasa, 23 Mac 2010

PIBG diingat usah persoal keputusan mansuh PPSMI

KUALA LUMPUR: Pengetua dan guru besar sekolah diingatkan tidak membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Mohd Adenan Deraman, berkata keputusan memansuhkan dasar PPSMI bermula 2011 sudah dibuat kerajaan dan perbincangan mengenainya sesuatu yang tidak wajar. Mohd Adenan berkata, pihaknya mendapat maklumat ada PIBG cenderung membangkitkan isu terbabit dalam mesyuarat agung yang akan diadakan kebanyakan sekolah pada akhir bulan ini. “Tindakan mempersoalkan keputusan atau dasar kerajaan adalah bertentangan peraturan terkandung dalam buku Garis Panduan Pengurusan PIBG. “Tindakan juga boleh diambil dengan menggugur atau menggantung jawatankuasa PIBG jika didapati menentang dasar kementerian atau kerajaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di sini, semalam. Mohd Adenan juga mengingatkan PIBG tidak dijadikan landasan untuk ahli jawatankuasa persatuan itu menentang dasar kerajaan dan kementerian. “Kami tidak menghalang ahli jawatankuasa menyuarakan pendapat, tetapi mereka perlu mengikut garis panduan ditetapkan. Kami harap perkara ini jelas,” katanya.

myMetro: 23 Mac 2010

Tiada ulasan: