Selasa, 9 Mac 2010

Sekolah diarah kurangkan aktiviti luar kelas



Kebakaran hutan seluas 3.2 hektar di pinggir Lebuh Raya Pantai Timur Gebeng-Sungai Ular ekoran cuaca panas di Kuantan, kelmarin. – utusan/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 8 Mac - Jabatan Pelajaran Pahang mengarahkan semua sekolah di negeri ini mengurangkan aktiviti luar kelas berikutan cuaca panas dan kemarau yang berpanjangan pada masa ini.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, semua aktiviti luar kelas seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu diadakan pada sebelah pagi kerana cuaca tidak terlalu panas.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah di negeri ini bertujuan mengurangkan aktiviti kokurikulum di luar kelas.

"Surat itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan kita akan mengambil langkah-langkah mengawal aktiviti kokurikulum yang melibatkan luar kelas.

"Pelaksanaannya juga mesti bersesuaian dengan cuaca, umpamanya subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan diadakan pada sebelah pagi sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas saranan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini supaya semua sekolah di negeri perlu mengurangkan aktiviti luar kelas berikutan cuaca panas.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz meminta semua aktiviti kokurikulum luar kelas diadakan di kawasan berbumbung seperti di dalam dewan.

"Guru Besar di sini juga diminta mengkaji semula jadual waktu yang melibatkan subjek atau aktiviti luar kelas supaya dapat diadakan pada waktu pagi sahaja.

Beliau juga meminta guru dan pelajar supaya minum air dengan banyak ketika musim kemarau ini bagi menjaga kesihatan masing-masing.

Dalam pada itu, Abdul Aziz mengingatkan pihak sekolah terutama yang berasrama supaya meningkatkan tahap kebersihan bagi mengelakkan merebaknya wabak demam denggi.

"Kita minta pihak pentadbiran sentiasa memastikan kawasan di sekeliling sekolah masing-masing bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2010

Tiada ulasan: