Rabu, 3 Mac 2010

Sekolah K9 di pedalaman Sabah

Oleh ZULHISHAM ISHAKutusansabah@utusan.com.my
PENSIANGAN 2 Mac – Kementerian Pelajaran akan mewujudkan sekolah Komprehensif 9 (K9) di Sabah bagi memastikan tidak ada murid-murid di pedalaman yang tercicir daripada sekolah menengah.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini K9 telah dilaksanakan di kawasan luar bandar iaitu di perkampungan Orang Asli di Semenanjung dan Sarawak.

“K9 akan diwujudkan di Sabah kerana masalah ketiadaan sekolah menengah di sesetengah kawasan pedalaman Sabah, ini membuatkan murid-murid tidak dapat naik ke tingkatan satu, dua dan tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot dan enam jam berjalan kaki dari sini, baru-baru ini.

Sekolah itu adalah sekolah terakhir dalam siri lawatannya ke enam buah sekolah pendalaman di daerah ini selama tiga hari berturut-turut.

K9 adalah sekolah rendah yang mempunyai menengah rendah dari tingkatan satu hingga tiga dan masih belum dilaksana di negeri ini.

Mohd. Puad berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan memulakan K9 di SK Saliliran berikutan keperluan mendesak kerana kawasan tersebut terletak jauh dari sekolah menengah.

Selain itu, katanya, pihak kementerian juga bersedia untuk membina sebuah asrama desa di sekolah tersebut kerana asrama sedia ada yang menempatkan 13 murid terlalu sempit.

Katanya, asrama itu yang hanya merupakan pondok kayu menjadi tempat tinggal untuk 13
murid termasuk prasekolah dari Kampung Kabuh, kira-kira tujuh berjalan kaki dari SK Saliliran.
“SK Saliliran wajar mempunyai asrama desa yang sempurna, kita akan bina dalam bentuk kabin fiber bagi memenuhi keperluan segera, begitu juga di SK Sibangali dan SK Pensiangan,” katanya.

Menurutnya, asrama desa khasnya di SK Pensiangan akan mampu menempatkan 34 murid dari Kampung Kalabahan, dekat situ, yang terpaksa berhenti sekolah sebelum ini kerana tiada kemudahan berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 3 Mac 2010

Tiada ulasan: