Rabu, 31 Mac 2010

RM1.8b bayar gaji guru sekolah Tamil, Cina

KERAJAAN tidak pernah menganaktirikan sekolah aliran jenis kebangsaan di Malaysia sebaliknya sekolah berkenaan menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara yang menerima peruntukan bernilai RM1.8 bilion untuk pembiayaan gaji guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan yang dilemparkan Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran disifatkan sebagai tuduhan melulu kerana sekolah berkenaan sebahagian sistem pendidikan negara.


Katanya, kerajaan membiayai RM1.8 bilion untuk pembayaran gaji guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina.


“Kalau di Pulau Pinang ada Ketua Menteri umumkan (bantuan) dua tiga juta (ringgit), gempar seluruh dunia, kita belanja RM1.8 bilion yang berhormat untuk bantu sekolah itu. Jadi, kalau anak tiri, takkan bagi duit macam itu banyak,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, semalam.


Menteri Pelajaran itu berkata, sekolah aliran berkenaan turut mengalami peralihan dan perubahan seiringi dengan usaha pembangunan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.


Manogaran dalam soalan turut ingin mengetahui bila Kementerian Pelajaran boleh mengangkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sebagai sekolah aliran perdana dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Sumbangan sekolah jenis kebangsaan ini perlu diambil kira kerana setaraf dengan sekolah kebangsaan. Terdapat kira-kira 70,000 bukan Cina pergi ke sekolah Cina,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan Muhyiddin.

myMetro: 31 Mac 2010

Tiada ulasan: