Jumaat, 19 Mac 2010

PKPIM sokong wujud sekolah satu aliran

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kenyataan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, minggu lalu yang menyatakan sistem pendidikan negara perlu disusun semula, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Sudah tiba masanya dasar pengasingan aliran pendidikan diwarisi sejak zaman penjajah dikaji semula memandangkan usaha membentuk kepelbagaian menjadi kesatuan masih gagal dilaksanakan.

PKPIM menyokong penuh sistem pendidikan satu aliran menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan wadah perpaduan yang berkesan di kalangan pelajar. Bagaimanapun PKPIM berpendapat, perlu penyusunan dan penstrukturan semula dasar, unsur dan inti pati sekolah satu aliran bagi memastikan rencah yang dilaksanakan benar-benar mampu membawa agenda perpaduan nasional.

Lantaran itu, PKPIM mencadangkan kerajaan menganjurkan siri perbincangan dan persidangan membabitkan semua pihak bagi membentuk konsep sekolah satu aliran yang jelas dan mampu menjadi cermin kepada ketiga-tiga identiti bangsa dengan menyatupadukan identiti dan kebudayaan rakyat pelbagai kaum.

Dalam pada itu, PKPIM menegaskan semua sekolah dan guru pada seluruh peringkat harus berperanan sebagai ejen membentuk perpaduan pemikiran dan sosial pelajar dengan memberi penekanan terhadap subjek berunsur kenegaraan, warisan dan sejarah kepelbagaian kaum dan seumpama dengannya.

Berdasarkan situasi semasa, penekanan terlalu diberikan kepada subjek yang bersifat teknikal sehingga pelajar kurang didedahkan dengan penghayatan perpaduan dan kenegaraan Malaysia. Lebih malang, subjek bersifat sains kemanusiaan juga hanya diajar sebagai fakta untuk peperiksaan tetapi gagal disusuli dengan penghayatan roh di sebalik makna pendidikan itu.
Contoh, subjek Bahasa Melayu sekadar diajar untuk memenuhi silibus pendidikan tetapi tidak ditekankan peranan dan penghayatannya sebagai bahasa dan alat perpaduan pelbagai kaum. Jika situasi ini berterusan kesepaduan tidak akan tercapai walaupun dasar pendidikan satu aliran dilaksanakan.

Bagi membentuk kesepaduan masyarakat di kalangan pelajar, dasar pendidikan satu aliran berteraskan satu konsep yang jelas adalah medan terbaik harus dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun, peranan besar sekolah dan guru untuk menyatupadukan pelajar harus digalas sebaik-baiknya memandangkan guru adalah kayu ukur sebenar kejayaan sesuatu dasar pendidikan.

PKPIM juga berpendapat isu perpaduan tidak harus ditekankan dalam ruang lingkup sekolah semata-mata tetapi membabitkan generasi muda dan masyarakat secara menyeluruh melalui penekanan serta penegasan terhadap dasar kebangsaan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ,
Presiden PKPIM

Berita Harian Online: 19 Mac 2010

Tiada ulasan: