Isnin, 22 Mac 2010

Pendekatan modular

KUALA LUMPUR 21 Mac - Sekolah dijangka menggunakan pendekatan modular dalam pembaharuan yang akan dilaksanakan bagi memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Pendekatan modular bagi kedua-dua bahasa ini akan memberi fokus dan menitikberatkan penguasaan literasi asas kemahiran bahasa dalam kalangan murid.

Kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia baru-baru ini memberitahu, pendekatan modular mengambil kira kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu, seimbang dan holistik.

Setiap komponen dalam kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis mempunyai modulnya yang tersendiri, serta disokong dengan modul tatabahasa dan modul seni bahasa.

''Seperkara lagi yang diberi penekanan untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasakan bahasa Inggeris adalah dengan memberi tumpuan kepada prinsip asas bahasa (back to basic)," ujar kenyataan tersebut.

Asas bahasa yang kukuh merupakan elemen terpenting bagi pembelajaran yang berkesan.

Kurikulum kedua-dua bahasa tersebut akan menitikberatkan pengukuhan penguasaan asas bahasa. Sebagai contoh, bagi pengukuhan penguasaan asas bahasa Inggeris akan dilakukan dengan memberi penekanan kepada phonics.

Pengenalan sistem bunyi yang dilakukan secara berstruktur dan sistematik melalui phonics berupaya memantapkan penguasaan asas bahasa murid.

Di samping perkara yang disebut tadi, pendekatan didik hibur dan menghargai bahasa akan diberi perhatian dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasakan bahasa Inggeris.

Sebagai contoh, pengajaran dan pembelajaran melalui modul seni bahasa akan memberi tumpuan dan penekanan kepada pembelajaran yang menarik, kreatif, inovatif dan berkesan yang boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti berbahasa seperti nyanyian, berlakon, berpuisi, pengucapan awam, jazz chants, choral speaking, drama dan muzik.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran ini membolehkan murid belajar dalam suasana yang menyeronokkan, selesa dan tiada tekanan

Utusan Malaysia Online: 22 Mac 2010

Tiada ulasan: