Rabu, 24 Mac 2010

Semesta raih RM5,000

RAUB: Kejayaan merangkul tempat kedua pada pertandingan Asrama Terbilang Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2009 menjadi antara faktor pemangkin kejayaan pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta), di sini, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Ini terbukti apabila 28 daripada 128 pelajar memperoleh pangkat A dalam semua mata pelajaran, sekali gus membolehkan Semesta mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.79 berbanding GPS 2.06 diperoleh pada 2008, peningkatan amat membanggakan.


Kejayaan itu bertitik-tolak daripada kejayaan mencapai kedudukan tempat kedua pada Pertandingan Asrama Terbilang SBP 2009 di belakang Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak.


Kejayaan itu melayakkan Semesta mendapat ganjaran RM5,000 daripada Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran.


Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Semesta, Mohd Basri Yaacob, berkata kejayaan sekolah itu hasil kerjasama semua pihak pentadbir, warden, kaunselor, mentor kamar, kakitangan asrama dan pelajar.


Selain itu, program seperti gotong-royong asrama pada hujung minggu, Sistem Merit-Demerit, Pertandingan Kamar Terbersih serta Sistem Lampu Trafik Sahsiah dilaksanakan menjadikan keadaan asrama bersih, kondusif dan ceria.

“Malahan Dewan Makan dinamakan ‘Serambi Selera’ diberi pengiktirafan bertaraf A oleh Pejabat Kesihatan Raub,” katanya ketika ditemui di sini.

myMetro: 24 Mac 2010

Tiada ulasan: