Jumaat, 22 Oktober 2010

Guru jangan merungut


Alimuddin Mohd. Dom menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang guru sambil disaksikan Mansor Lat (tengah) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Perlis di Kangar, semalam.


KANGAR 21 Okt. - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menyifatkan tindakan guru merungut mengenai beban tugas yang banyak sebagai sesuatu 'tidak menyeronokkan'.

Beliau berkata, guru berkenaan tidak sewajarnya merungut setelah mereka memilih profesion itu sebagai kerjaya hidup mereka.

"Apabila guru rungut banyak beban tugas, hati saya jadi tidak seronok dan tertanya-tanya kenapa mereka jadi guru seolah-olah ia menjadi masalah besar kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 Jabatan Pelajaran Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Mansor Lat.

Alimuddin berkata, seorang guru perlu menjadi pendidik yang sebenar-benarnya memberi banyak sumbangan kepada pelajar.

Menurutnya, guru seharusnya rela untuk memikul sebarang tugas di sekolah termasuk mengendalikan masalah dihadapi pelajarnya.

"Sepatutnya guru mencari apa masalah dihadapi pelajar, bukan setakat berjumpa di sekolah tetapi pergi ke rumah mereka," katanya.

Beliau menyifatkan guru yang tidak mahu menyelesaikan masalah dihadapi pelajar, dianggap gagal mencapai kepuasan dalam kerjaya mereka.

Alimuddin yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada bulan depan turut mempertikaikan sikap guru yang tidak berpuas hati apabila ditukarkan ke sekolah lain.

"Selama 34 tahun berkhidmat sebagai pendidik, saya ditukar sebanyak 15 kali. Saya anggap pertukaran ini sebagai sesuatu positif malah memberi banyak pengalaman baru kepada saya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua warga pendidik agar ikhlas dalam melaksanakan tugas dan sentiasa memberi motivasi kepada pelajar sehingga mereka berjaya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 434 warga pendidikan Jabatan Pelajaran negeri iaitu 263 wanita dan 171 lelaki menerima anugerah berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 22 Oktober 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Camna guru tak merungut pasala beban tugas... dulu, soal keputusan peperiksaan tak dijadikan sebagai kayu ukur tentang prestasi sekolah. Guru buat banyak tugas dan kurang beri perhatian terhadapm P&P pun tak mengapa.

La ni, tugas bertambah berkali ganda. Guru tak dpt tumpu pada P&P. Bila keputusan peperiksaan tak berapa baik, gurulah yang dipersalahkan.

Itulah bezanya Tan Sri.Selamat Bersara.

Tanpa Nama berkata...

Jgn samakan guru tahun 70an, 80an dengan guru sekarang. Saya masih ingat guru2 saya tahun 70an dan 80an. Banyak relaknya. Tapi bila saya menjadi guru, suasana tidak sama. Kenapa? Saya tidak merungut, tapi jgn la tenaga kami diperah, kami juga perlu rehat. Hanya itu yg dipinta oleh kebanyakan guru. Harap difahami oleh pengganti.