Jumaat, 1 Oktober 2010

Sentral: Sekolah kandang kambing

Oleh Halina Mohd Noor

2010/09/30

KAWASAN sekolah lama di Taman Desa, Jalan Klang Lama dipenuhi semak samun menjadi sarang nyamuk. Gambar (kecil) kambing berkeliaran dalam bangunan sekolah di Taman Desa, Jalan Klang Lama.
KAWASAN sekolah lama di Taman Desa, Jalan Klang Lama dipenuhi semak samun menjadi sarang nyamuk. Gambar (kecil) kambing berkeliaran dalam bangunan sekolah di Taman Desa, Jalan Klang Lama.
Kawasan terbiar turut dicemari sampah, jadi sarang maksiat

KUALA LUMPUR: Kambing masuk sekolah! Inilah yang berlaku apabila sekolah yang dibina di Taman Desa di sini terbiar begitu saja sejak beberapa tahun lalu sehingga lebih sesuai menjadi kandang ternakan kambing.

Bukan setakat kambing, sekolah terbiar di belakang taman tema Desa Waterpark itu juga menjadi sarang nyamuk Aedes dan turut dipercayai dihuni ular kerana dipenuhi semak samun dan lalang.

Malah, penduduk sekitar kawasan sekolah berkenaan turut mendakwa sekolah berkenaan menjadi lubuk pelbagai jenis maksiat termasuk remaja dan golongan pondan serta penagih melepaskan gian.

Bertindak atas aduan orang ramai bahawa ada kegiatan menjadikan sekolah berkenaan sebagai kandang kambing, Sentral membuat tinjauan ke sekolah terbiar itu baru-baru ini.

Hasil tinjauan mendapati ada banyak najis kambing bertaburan di sekitar kawasan sekolah tetapi didapati hanya ada seekor kambing jantan berwarna putih ketika itu. Tinjauan di bahagian atas mendapati terdapat tilam buruk dipercayai menjadi tempat remaja dan pondan melakukan maksiat.

Keadaan dalam bangunan sekolah amat kotor dipenuhi pelbagai sampah-sarap bekas makanan dan minuman selain najis kambing yang bertaburan di sana-sini.

Peniaga lemang, Kassim Mat Jais, 35, mengakui sebelum Ramadan lalu pernah ternampak kira-kira sembilan kambing jantan dan betina bersama anak kambing berkeliaran dalam kawasan sekolah untuk makan rumput.
“Saya memang ada nampak beberapa kambing sebelum ini yang berkeliaran dalam kawasan sekolah dan kadangkala keluar ke belakang sekolah untuk makan rumput terutama di sebelah tengah hari.

“Tidak pasti siapa pemilik kambing itu tapi memang kambing berkenaan dibiarkan di dalam kawasan sekolah. Selepas bulan puasa sehingga hari ini, saya tidak nampak lagi kambing berkenaan,” katanya.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, lebih baik kambing berkenaan dibela dalam kawasan sekolah daripada sekolah terbiar itu menjadi sarang maksiat remaja ponteng sekolah serta penagih dadah.

“Kambing ini dibela penduduk di sini juga. Mereka pernah minta kawasan lapang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi tidak dilayan. Akhirnya mereka gunakan kawasan sekolah untuk meletakkan kambing.

“Saya dimaklumkan ada dua hingga tiga pemilik kambing tetapi sebelum hari raya, semua kambing sudah dijual dan hanya tinggal kambing jantan itu saja. Sejak ada kambing, jarang ada kes maksiat atau budak yang ponteng sekolah pergi ke situ,” katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran seharusnya lebih bertanggungjawab menjaga keadaan sekolah berkenaan dan tidak membiarkannya sekiranya tidak mahu ia menjadi sarang kegiatan negatif.

Berita Harian Online: 1 September 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kc pindah sekolah tersebut ke Sabah. DiSabah ada sekolah tu kambing pun tidak mahu masuk sebab bila hujan semua basah

algojo berkata...

sekolah ni penting sebenarnya sbb banyak flat dan kondo sekitar Taman Desa nih..mesti la org nak sekolah dekat

tapi sbb tanah mendap (tanah bekas lombong) kemudian dgn pembangunan pesat kat situ..skolah tu kira total lost

memang saya gila, tapi atas dasar keselamatan dorg tak kompromi la.