Rabu, 3 November 2010

Pelapistani sekolah

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid

2010/11/03

SMK Langgar Alor Setar juara peringkat negeri Kedah

PENYERTAAN pertama Kelab Pelapistani Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langgar, Alor Setar dalam pertandingan Pergerakan Pelapistani Peringkat Negeri Kedah, baru-baru ini membuahkan hasil apabila mendapat tempat pertama dalam pertandingan berkenaan.

Kejayaan pertama itu memberi semangat seluruh pelajar sekolah itu untuk meneruskan pembabitan mereka dalam bidang pertanian sekali gus menyahut hasrat kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan melalui Program Bumi Hijau.
Guru Penasihat Kelab Pelapistani SMK Langgar, Hasanah Kechik, berkata kelab pertanian yang bertujuan mengusahakan kebun di kawasan sekolah itu meningkatkan 90 orang berbanding 25 pelajar sejak ditubuhkan pada 2004.

Beliau berkata, pada awalnya kelab itu menanam pokok herba dan mengorak langkah meluaskan aktivitinya menanam sayur-sayuran dan buah-buahan.

Antara sayur yang ditanam, termasuk kacang panjang, bayam, kangkung, terung dan kubis, selain pokok buah naga dan tembikai yang kini mengeluarkan hasil memberangsangkan.

Kini, kami memperluaskan aktiviti dengan menternak ikan tilapia dan keli dalam kolam," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hasanah berkata, kejayaan itu menyebabkan Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Pelajaran memberi khidmat nasihat sekali gus memberi semangat kepada ahli kelab menyertai pertandingan berkenaan.

Pencapaian juara Pergerakan Pelapistani Kedah 2010 amat membanggakan ahli. Antara pencapaian lain sekolah itu ialah johan keseluruhan pertandingan koir, kuiz, inovasi agroteknologi, pertandingan menghasilkan tanah campuran dan taman dapur.

"Bagi menampung aktiviti kelab ini kami memasarkan hasil keluaran pertanian dan ternakan kepada pelajar, guru, peniaga di pasar dan penduduk sekitar,” katanya.

Katanya, perolehan itu menguatkan keazaman dan minat ahli untuk bergiat lebih aktif dalam bidang pertanian.

Hasanah berkata, beliau kagum dengan komitmen ditunjukkan ahli apabila mereka sanggup datang ke sekolah pada waktu petang atau ketika cuti untuk menjaga tanaman. Komitmen itu juga antara terapi mengurangkan tekanan ketika menghadapi pelajaran.

Katanya, antara hasil yang sering mendapat tempahan orang ramai, termasuk teh herba misai kucing dan sayur-sayuran tanpa menggunakan racun serangga, sebaliknya menggunakan semburan air bawang putih dan serai wangi untuk mengawal serangga perosak.

"Disebabkan sambutan amat menggalakkan kami merancang memperluaskan lagi tanaman, termasuk mengusahakan projek cendawan dan menambah ternakan ikan air tawar," katanya.

Berita Harian Online: 3 November 2010

Tiada ulasan: