Jumaat, 12 November 2010

Akademik merudum

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
upen@bharian.com.my
2010/11/12

Kadar perpindahan guru tinggi jadi punca utama di Sabah

KADAR perpindahan dan pertukaran guru yang tinggi di Sabah dengan anggaran 700 orang setiap tahun dikenal pasti punca utama tahap pencapaian akademik di negeri itu tidak mampu menyaingi pencapaian yang direkodkan negeri lain.

Exco Pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata perpindahan itu kebanyakannya membabitkan guru berpengalaman dari Semenanjung dan Sarawak yang kembali ke negeri asal selepas berkhidmat antara tiga hingga lima tahun di sini.
Katanya, kajian Jabatan Pelajaran negeri mendapati keadaan itu menyebabkan corak pengajaran sesuatu mata pelajaran di sesebuah sekolah berubah kerana setiap guru mempunyai pendekatan mengajar yang berbeza, selain mengambil masa menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.

“Perubahan cara mengajar dan tempoh yang diambil seorang guru menyesuaikan diri di sekolah baru memberi kesan kepada pencapaian akademik peringkat sekolah, lebih-lebih lagi keadaan berlaku hampir setiap tahun.

“Selepas tiga tahun, apabila guru terbabit serasi dan corak pengajarannya difahami, mereka memohon kembali ke negeri asal. Apabila mereka pindah, guru lain menggantikan tempat mereka dengan membawa pendekatan pengajaran berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Shiong, Putatan, dekat Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengulas mengenai masalah utama kerajaan dalam meningkatkan pencapaian akademik di negeri berkenaan yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Katanya, kadar perpindahan dan pertukaran guru perlu diatasi dengan mengambil lebih ramai bakal guru berasal dari Sabah.

“Walaupun kini, jumlah guru tempatan lebih ramai berbanding negeri lain, diharapkan Kementerian Pelajaran perlu menambah pengambilan mereka bagi mengatasi situasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan kementerian menerusi pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menerusi perjumpaan itu, katanya Muhyiddin memberi jaminan kementerian akan mengkaji pendekatan sesuai mengatasi keadaan itu dan melaksanakannya tidak lama lagi.

Masidi berkata, guru berpengalaman amat diperlukan di negeri ini untuk meningkatkan pencapaian akademik murid dan pelajar serta membantu meningkatkan prestasi akademik peringkat negeri.

Kerajaan negeri kata beliau, mengambil berat masalah kekurangan dana dialami kebanyakan sekolah aliran Cina di negeri itu, khususnya dalam menyediakan prasarana untuk keselesaan pelajar.

Katanya, sekolah aliran Cina di Sabah bukan saja diperlukan masyarakat Cina, malah kini kira-kira 60 peratus murid di kebanyakan SJKC adalah masyarakat Bumiputera.

Berita Harian Online: 12 November 2010

Tiada ulasan: