Isnin, 8 November 2010

Kerajaan patut sedia peruntukan khas baiki segera sekolah rosak

2010/11/08

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran memaklumkan kepada Parlimen baru-baru ini, tiga peratus daripada 55,000 sekolah atau 1,650 sekolah yang diaudit Kementerian Pelajaran mengalami kerosakan teruk dan perlukan perhatian segera.

Lima peratus daripada jumlah itu pula mengalami masalah pendawaian elektrik. Pendedahan itu memerlukan perhatian serius bukan saja daripada kementerian terbabit, malah juga keprihatinan guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan pelajar.

Persoalan paling penting ia membabitkan isu keselamatan bangunan sekolah serta penghuninya dan bagaimana untuk memperbaiki kerosakan itu.
Sejak beberapa tahun lalu beberapa kemalangan berlaku membabitkan sekolah termasuk mengakibatkan kecederaan pelajar.

Kejadian terbaru membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong di Kedah yang lantai bilik darjahnya mendap dan runtuh ketika kelas sedang berjalan mengakibatkan 10 murid dan seorang guru cedera.

Kerajaan memperuntukkan RM8.85 bilion untuk Kementerian Pelajaran bagi melaksanakan projek pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dengan anggaran RM5.36 bilion akan digunakan untuk membiayai projek yang belum siap di bawah RMK-9. Baki peruntukan untuk projek baru dan penambahbaikan serta pembinaan sekolah baru.

Disebabkan isu keselamatan bangunan sekolah agak membimbangkan, kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas untuk membaiki atau membaik pulih semua sekolah terbabit demi menjaga keselamatan.
Dalam apa juga kemungkinan keselamatan guru dan pelajar tidak boleh dikompromi selaras konsep sekolah selamat.

Pendekatan sekolah selamat bukan sekadar berkisar pada aspek berteraskan disiplin, jenayah, ancaman kepada keselamatan pelajar, buli dan perilaku gangsterisme, malah merangkumi keselamatan bangunan sekolah, bilik darjah, peralatan dan semua kemudahan di sekolah.

Justeru, semua aspek berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan di sekolah amat perlu dititikberatkan.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Aktivis Sosial

Berita Harian Online:8 November 2010

Tiada ulasan: