Isnin, 1 November 2010

'Menyongsangkan' sejarah

PUTRAJAYA - Pemikiran kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek Sejarah boleh dipupuk melalui pendekatan 'menyongsangkan' fakta sejarah, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

"Misalnya kita bertanya kepada pelajar, apakah akan berlaku kepada Tanah Melayu kalau Portugis tidak menawan Melaka pada 1511, atau apakah akan berlaku kepada Tanah Melayu jika tidak berlaku peperangan dunia kedua," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Ujar beliau, ada perkara yang perlu difikirkan secara yang kritikal oleh pelajar ketika mempelajari sejarah, seperti adakah semangat kebangsaan boleh dipupuk dalam masyarakat Malaysia jika tidak berlaku peperangan dunia kedua, atau sekiranya British tidak menjajah negara ini, apakah pandangan generasi muda terhadap keadaan Malaysia ketika ini.

Beliau bersetuju bahawa memang terdapat keperluan supaya pendekatan menghafal fakta sejarah diubah kepada cara yang lebih menarik dan boleh menyebabkan pelajar berfikir secara kritikal terhadap sesuatu peristiwa.

Yang lebih penting ujar beliau, oleh sebab subjek itu akan menjadi wajib di peringkat rendah dan menengah, maka komponen Perlembagaan negara perlu disisipkan supaya beberapa aspek seperti kontrak sosial dapat difahami oleh pelajar.

"Kita juga perlu fokuskan kepada perkara yang ada kaitan rapat dengan Perlembagaan… pelajar perlu tahu Perlembagaan kita, kemudian dari segi perjuangan menuntut kemerdekaan," katanya.

Sebelum ini, ujar beliau, topik itu memang ada diajar, tetapi 'disentuh' sedikit sahaja.

"Apabila kita mewajibkan Sejarah, dan pada masa yang sama mahu menyemai semangat patrotik dan cintakan negara, maka kita perlu penekanan kepada aspek ini," kata Alimuddin.

Menurut beliau, memang agak sukar mengajar sejarah negara pada sekitar tahun 1970-an kerana sejarah Malaysia amat sedikit ketika itu.

"Sebelum era 1970-an, banyak kita belajar sejarah dunia, sejarah Asia Tenggara dan sejarah Empayar British.

"Jadi, apabila kita telah melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan, kita telah mula memperkenal-kan sejarah Malaysia, dan memang tepat pada masanya Menteri Pelajaran mengumumkan hasrat kerajaan mewajibkan subjek Sejarah," katanya.

Dengan memperkenalkan Sejarah, bermakna sistem pendidikan telah memperkenalkan jati diri dalam kalangan pelajar, semangat patriotik, membina negara bangsa serta meningkatkan lagi unsur perpaduan antara kaum, ujar Alimuddin.

Melalui Sejarah, tambah beliau, pelajar akan memahami keadaan masyarakat di negara ini.

Beliau turut menekankan pentingnya Sejarah diajar dengan pendekatan yang menyeronokkan.

"Antaranya, guru boleh mengadakan beberapa pendekatan seperti mengadakan aktiviti drama, perbincangan, forum, perbahasan, lawatan ke tempat bersejarah, mengadakan temu bual dan sebagainya," kata Alimuddin.

Utusan Malaysia Online: 1 November 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pendekatan yang menarik. Apa akan terjadi jika perlembagaan malaysia tidak dipinda pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai PM?

guru yahya berkata...

dan juga apa terjadi jika tanah melayu menyertai negara kesatuan indonesia raya?