KUALA KRAI - Keluarga kepada murid yang tidak dapat mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 13 hingga 15 September lalu di sebuah sekolah di Kuala Krai tampil menuntut penjelasan dari pihak berwajib.
Murid terbabit, Wan Mohd Fazlan Wan Ibrahim hanya mengetahui perkara itu apabila dia tidak dibenarkan memasuki dewan peperiksaan ketika datang untuk mengambil ujian tersebut pada 13 September lalu.
Terkejut dengan kejadian menimpa Wan Mohd Fazlan, ahli keluarganya cuba mendapatkan penjelasan pihak sekolah termasuk meminta surat rasmi mengenai larangan itu namun gagal.
Seorang kakak Wan Mohd Fazlan yang enggan dikenali berkata, kecewa dengan kegagalan pihak sekolah memberikan alasan sebenar adiknya tidak dibenarkan menduduki UPSR, lalu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, kelmarin.
”Sehari sebelum buat laporan polis, saya pergi ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan diberikan sepucuk surat berhubung pembatalan menduduki peperiksaan yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia.
”Tetapi kesahihannya meragukan kerana bertarikh 12 September sedangkan kami sekeluarga tidak pernah dapat surat itu manakala tarikh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) terima surat itu pula pada 15 September iaitu hari terakhir UPSR,” katanya.
Kakak Wan Mohd Fazlan berkata, kesahihan surat itu juga diragukan kerana dihantar dari faksimile sebuah sekolah menengah di sini dan tidak seorang pun kakitangan PPD berani mengesahkannya apabila diminta berbuat demikian.
”Saya buat laporan polis kerana nak tahu mengapa adik saya tidak dibenarkan mengambil UPSR dan sama ada surat pembatalan itu sah atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, kakak Wan Mohd Fazlan berkata, adik bongsunya daripada 13 adik-beradik itu tidak berhenti menangis ketika pulang ke rumah selepas dilarang memasuki dewan peperiksaan pada hari pertama UPSR.
”Sehingga sekarang, dia masih mengalami tekanan emosi dan enggan pergi ke sekolah, mungkin sebab malu dengan rakannya yang lain kerana dia sudah didaftarkan sebagai seorang calon UPSR dengan angka giliran DG 025 1051,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan tiga murid SK Bandar Bintangor, Sarawak dan lima murid SK Telok Sira, Kedah dilarang mengambil UPSR 2011 kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah.
Sinar Harian: 6 Oktober 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan