Oleh Syuhada Choo Abdullah, Shaarani Ismail, S Anand Kumar dan Suzalina Halid
bhnews@bharian.com.my
2011/10/06
Pertikaian, perdebatan akibat tafsiran tak betul kelirukan masyarakat: TPMKUALA LUMPUR: Kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah masih relevan dan ketepatan fakta dalam kandungannya tidak perlu dipertikai atau diperdebatkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebagai contoh, beliau berkata, polemik dicetuskan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang membuat tafsiran sejarah berhubung isu Mat Indera daripada perspektif pandangan sendiri tetapi tidak tepat.
Sehubungan itu, katanya, tafsiran sejarah mesti dilakukan tokoh dan pakar dalam bidang itu.
"Dalam kandungan pembelajaran sejarah, yang hendak diisi ialah ketepatan fakta dan tafsiran, tetapi ia mungkin dibuat pelbagai pihak.
"Seperti kes baru-baru ini (polemik dicetuskan Mat Sabu), berlaku debat berpanjangan kerana dilihat dalam konteks berbeza dan jika ditokok elemen politik sehingga mempertahankannya bukan kerana kandungan sejarah, itu bukan asas yang betul.
"Bagi saya, bimbingan kepada anak kita (pelajar) dalam sistem pembelajaran sejarah di sekolah adalah tepat," katanya menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), semalam.
Mengenai pendirian negara pernah dijajah, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak perlu didebat dan dibahaskan kerana ia sudah diterima rakyat selama 54 tahun kemerdekaan tanah air.
Isu itu berbangkit ekoran kenyataan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zainal Kling, sebelum ini bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British susulan polemik sejarah dicetuskan Mat Sabu.
Muhyiddin berkata, walaupun Tanah Melayu ketika itu mempunyai Sultan dan Raja, mereka tidak bebas kerana terpaksa mengikut nasihat diberikan Residen British.
"Sebab itu, kita berjuang memerdekakan negara dan sumbangan seperti Tunku Abdul Rahman serta pemimpin lain, tidak harus diketepikan sebab ia adalah fakta sejarah," katanya.
Terdahulu, menjawab soalan Datuk Shamsul Anwar Nasarah (BN-Lenggong), Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah mendapati, kurikulum sedia ada masih relevan tetapi skopnya perlu diperinci, diperluas dan disusun semula supaya lebih jelas serta mudah difahami pelajar.
Sambil menjelaskan jawatankuasa itu dijangka mengemukakan laporan lengkap kepadanya selewat-lewat Mei tahun depan, beliau berkata, kementerian juga akan menggubal Buku Panduan Mengajar Mata Pelajaran Sejarah bagi membantu dan memastikan guru dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Berita Harian Online: 6 Oktober 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan