Rabu, 26 Oktober 2011

Perjalanan ‘maut’, guru curah bakti


Rombongan kakitangan Kementerian Pelajaran dan wartawan terpaksa menaiki rakit buluh bertali semasa mengharungi sungai berarus deras untuk ke SK Buayan dan SK Terian di pedalaman Penampang, baru-baru ini. – UTUSAN/Ghazali Basri


DAERAH Penampang terletak bersebelahan dengan bandar raya Kota Kinabalu. Namun, siapa sangka daerah itu masih mempunyai sekolah pedalaman yang begitu terpencil iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan dan SK Terian.

Untuk ke sekolah-sekolah tersebut cuma terdapat dua pilihan sahaja iaitu melalui jalan balak dan berjalan kaki yang mengambil masa sehingga enam jam.

SK Buayan dan SK Terian yang terletak di Banjaran Crocker, masing-masing hanya mempunyai 43 dan 33 orang murid sahaja. Bagaimanapun, dasar pendidikan negara adalah amat jelas iaitu tanpa sebarang kompromi, akan tetap memastikan semua lapisan rakyat meskipun jauh di pedalaman diberikan pendidikan terbaik.

Baru-baru ini, petugas media Sabah berpeluang bersama-sama dengan Timbalan Menteri Pelajaran, DR. MOHD. PUAD ZARKASHI berpeluang melalui pengalaman perit menggunakan dua jalan itu untuk ke sekolah berkenaan.

PENAMPANG 25 Okt. – Pertama kali mendengar mengenai lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke dua buah sekolah di Penampang, penulis merasakan ia pasti biasa dan kurang mencabar.

Ini kerana pada firasat penulis, sekolah yang akan dilawat tidaklah terlalu jauh dan mencabar kerana terletak di Daerah Penampang, bersebelahan dengan Kota Kinabalu.

Namun segala-galanya berubah apabila kami memulakan perjalanan pada pukul 1 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk Kampung Sugud yang bermula dengan merentas sungai dan melalui jalan balak.

Malah tidak sampai 10 minit perjalanan, dua daripada lima pacuan empat roda yang disewa berkenaan mengalami kerosakan.

Kerosakan awal yang tidak dijangka itu menyebabkan kira-kira 30 peserta lawatan terpaksa berhimpit-himpit termasuk duduk mencangkung di belakang pacuan empat roda lain bersama beg dan barangan keperluan.

Keadaan ini membuatkan para petugas media berasa agak gusar kerana terpaksa melalui jalan berbukit, licin dan berisiko, menaiki kenderaan yang terlebih muatan pula.

Degupan jantung semakin kencang apabila seorang pegawai kementerian memaklumkan bahawa tiada kenderaan sokongan kerana hanya pacuan empat roda penduduk kampung sahaja yang ‘berani’ melalui jalan balak berkenaan.

Sepanjang melalui jalan balak menerusi cerun bukit selama dua jam itu, ia amat mencabar seumpama ‘perjalanan maut’ yang boleh mengundang risiko hanya pada bila-bila masa.

Kegagalan kereta pacuan empat roda dinaiki penulis mendaki bukit dan hampir-hampir terbalik sebelum terbabas ke tebing, tambah merunsingkan kami.

Pada masa itu, hanya kepada tuhan kami bertawakal dan berdoa agar tiada sebarang kesilapan pemanduan yang boleh mengundang tragedi yang tidak diingini.

Namun, perjalanan dua jam yang membuatkan semua anggota badan peserta mula terasa sakit berakhir pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila kami tiba di tebing sebatang sungai yang berarus deras.

Bagaimanapun, perjalanan kami masih belum sampai ke destinasinya. Sebaliknya ia merupakan permulaan ujian berjalan kaki pula.

Semua peserta terpaksa berjalan kaki melalui denai di tebing bukit, mendaki dan menuruni bukit selain melintasi beberapa batang sungai dengan rakit dan juga melalui jambatan gantung uzur.

Berjalan kaki pada masa itu membuatkan semua peserta terpisah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada stamina masing-masing.

Pada masa itu, kumpulan Mohd. Puad mendahului peserta lain manakala kumpulan penulis yang disertai oleh jurugambar Berita Harian, jurugambar Jabatan Penerangan, wartawan New Straits Times dan beberapa wakil kementerian berada di belakang sekali kerana ‘tidak cukup stamina’.

Semasa perjalanan, penulis menyedari laluan kami pada masa itu amat berbahaya kerana melalui cerun bukit yang licin - sedikit sahaja kesilapan boleh menyebabkan terjatuh ke bawah yang pastinya boleh menukar perjalanan kepada tragedi.

Sepanjang perjalanan menyaksikan ada antara kami yang tergelincir, malah seorang peserta kehilangan tapak kasut dan terpaksa berjalan tanpa tapak kasut.

Perjalanan kali ini juga begitu meletihkan sehingga menyebabkan ada di antara kami yang mengalami kekejangan.

Namun, setelah tiga jam berjalan kaki termasuk dalam kegelapan hutan, rombongan akhirnya sampai ke destinasi iaitu SK Buayan pada pukul 7.30 malam.

Selain gembira dengan kejayaan itu, fikiran penulis pada masa itu terbayangkan bagaimana kesusahan dialami guru-guru yang juga terpaksa melalui laluan sama. Selain itu mereka juga berisiko bertembung dengan haiwan liar dan berbisa.

Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu pada sebelah malamnya, Mohd. Puad berkata, biarpun terpaksa melalui laluan berbahaya dan meletihkan, ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus melawat kawasan pedalaman.

Katanya, dengan cara itulah beliau akan dapat menghayati dan melihat sendiri keadaan sekolah di kawasan pedalaman seterusnya berusaha memajukan tahap pendidikan di kawasan terbabit.

“Jadi apabila mengetahui pelajar yang duduk jauh di sini terpaksa ambil periksa di SK Tampasak Tegudon, timbul tanggungjawab bagi saya untuk membela anak-anak tuan-puan.

“Malah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan sentiasa memberi perhatian besar kepada pendidikan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tegas Mohd. Puad, perjalanan yang mencabar dan berisiko itu tidak pernah mematahkan semangat warga kementerian untuk terus melakukan lawatan bagi meningkatkan prasarana luar bandar.

Katanya, pada masa akan datang, pihaknya merancang melawat lebih banyak sekolah pedalaman di seluruh negeri.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2011

1 ulasan:

guru lama berkata...

Sekolah ini sudah wujud lama namun tiada tindakan dari pihak berwajib untuk menyediakan jalan perhubungan yang lebih baik, apa lagi jalan bertar.

Namun satu hal yang tidak pernah diabai ialah soal kehidupan rohani mereka. Bukan usaha kerajaan negeri atau apa lagi kerajaan persekutuan tapi para mubaligh Kristian. Justeru, kemasukan mereka inilah menyebabkan kampungg ini tidak diperdulikan kerana .....ada "BIAS".. dalam membahagikan harta kekayaan negara Malaysia.

Apa pun terima kasih kepada Dr. Fuad Zarkashi,orang politik, orang Melayu yang tidak jemu-jemu masuk kampung dan kerana beliaulah satu-satunya YB dari Semenanjung yang sudi melihat keperitan hidup penduduk Malaysia disana yang kononnya MERDEKA