Jumaat, 28 Oktober 2011

Perkukuh bahasa Inggeris melalui mata pelajarannya

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Bagi memastikan rakyat dapat menguasai bahasa Inggeris, kualiti tenaga pengajar, sukatan pelajaran serta bahan rujukan untuk mata pelajaran bahasa itu perlu diperkukuhkan, bukannya menerusi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Berdasarkan pengamatan tokoh bahasa dan sejarah, Dr. Awang Sarian (gambar), meskipun negara seperti Jerman, China, Belanda dan Jepun tidak melaksanakan PPSMI, mereka mampu berada sebaris dengan negara-negara maju lain menggunakan bahasa ibunda masing- masing.

"Saya pernah berkhidmat di China, jelas dasar kerajaannya tidak berubah. Meskipun mereka maju dan ekonomi stabil, mereka tetap tegas dengan penggunaan bahasa ibunda secara menyeluruh. Ertinya, penguasaan bahasa asing tidak menjamin sesebuah negara itu untuk maju.

"Kita mesti sampai ke tahap itu. Saya juga pernah membuat kajian ringkas semasa menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt, Jerman. Di sana penuntut asing perlu belajar bahasa Jerman selama enam bulan sebelum memasuki universiti tersebut untuk mengikuti kursus kejuruteraan dan sebagainya.

"Memartabatkan bahasa Melayu merupakan dasar negara ini. Ia telah dirumus sejak sebelum merdeka lagi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dengan ketetapan bahawa bahasa itu sebagai bahasa pengantar utama dalam Penyata Razak. Itu menjadi asas semua akta berkaitan pendidikan sehingga sekarang," katanya di sini, hari ini.

Beliau seterusnya meminta supaya kerajaan mengabaikan gesaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) supaya PPSMI dipertahankan.

Menurut Awang, kajiannya pada 2003 menunjukkan hanya tiga peratus pelajar yang dapat memanfaatkan PPSMI dalam pelajaran mereka.

"Adakah kita hendak abaikan 97 peratus lagi pelajar? Justeru, kita perlu melaksanakan pendidikan yang demokrasi iaitu pendidikan yang dimanfaatkan sebahagian besar rakyat negara ini. Kita tidak boleh menyisihkan 97 peratus pelajar tersebut hanya untuk kepentingan tiga peratus sahaja.

"Mereka hanya golongan elit. Golongan itu gemar memartabatkan bahasa Inggeris daripada bahasa ibunda sendiri walhal sebenarnya menyedari bahawa mereka ialah orang Melayu atau Malaysia yang membesar dan memahami norma masyarakat negara ini," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

Tiada ulasan: