JOHOR BAHRU 28 Okt. - Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen akan diperluas ke enam lagi hospital kerajaan pada tahun depan.
Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, hospital yang dipilih adalah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
"Kita juga akan mewujudkan SDH di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur.
"Kesemua SDH di hospital tersebut akan dilaksanakan tahun depan dan harapan kami setiap negeri akan memiliki sebuah SDH pada masa akan datang," katanya selepas menghadiri taklimat dan lawatan ke tapak projek SDH di HSA, di sini hari ini.
Taklimat tersebut disampaikan Pengarah HSA, Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican. Turut hadir, Fasilitator Projek Hati Nurani SDH, Dr. Noraini Zainal Abidin.
Noorainee yang juga Penaung Projek Hati Nuraini berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan projek perintis SDH di sekitar Lembah Klang iaitu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang pada Julai lalu.
"Saya bangga kerana program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan beberapa hospital secara sukarela mewujudkan sekolah tersebut di hospital masing-masing.
"Bagi memenuhi keperluan itu, guru-guru SDH yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengikuti latihan pengurusan dan pentadbiran program di Children's Hospital at Westmead, Sydney, Australia," katanya.
Menurutnya, SDH kini satu keperluan dan menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan kemudahan tersebut bagi membolehkan pelajar yang mendapat rawatan tidak keciciran dalam pelajaran.Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan