KUALA LUMPUR 5 Okt. - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif membantu kecemerlangan pelajar dan sekolah akan diberikan pengiktirafan mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengiktirafan tersebut wajar kerana kerjasama erat antara sekolah serta PIBG mampu membantu kecemerlangan pelajar dan sekolah berkenaan.
Sesetengahnya hubungan begini (antara sekolah dan PIBG) membantu (kecemerlangan). Tetapi, di sesetengah sekolah, PIBG tidak begitu aktif berperanan, jadi pencapaian (sekolah) pun menurun.
"Jadi saya hendak iktiraf sumbangan pimpinan ibu bapa di sekolah-sekolah," katanya selepas melawat SMK Seri Hartamas dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengetua SMK Seri Hartamas, Rosnimawati Saad dan Yang Dipertua PIBG SMK Seri Hartamas, Salmah Abu Bakar.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bentuk pengiktirafan yang akan diberikan itu akan ditentukan kemudian.
Beliau memuji langkah PIBG SMK Seri Hartamas yang berjaya membantu mengekalkan prestasi sekolah itu antara sekolah harian terbaik Wilayah Persekutuan bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Salah satu faktor yang saya dapati adalah kerjasama antara PIBG dengan sekolah. Di sini, pengetua dan Yang Dipertua PIBG bekerja rapat.
"Ini satu contoh kepimpinan ibu bapa yang membantu meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar," katanya.
Utusan Malaysia Online: 6 Oktober 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan