Sabtu, 8 Oktober 2011

Pelajar dakwa ditampar guru

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan empat mendakwa ditampar seorang guru wanita enam kali dan ditolak kepala tanpa sebarang alasan di hadapan beberapa guru lain selepas waktu rehat di sebuah sekolah, pada Rabu lalu.

Difahamkan, seminggu sebelum kejadian, pelajar itu, Nik Nor Syazwani Nik Anuar, 16, dipanggil bersama bapanya untuk berjumpa guru disiplin berhubung masalah, kononnya dia menjadi punca pergeseran antara guru di sekolah terbabit dan masalah itu dianggap selesai.


Menurut Nik Nor Syazwani, dia sekali lagi dipanggil bersama empat rakan lain ke bilik kesihatan sekolah, Rabu lalu.

“Saya bersama rakan dipanggil ke bilik itu dan ada guru menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana mendakwa saya melaga-lagakan guru di situ.


“Selepas itu, ada seorang guru wanita yang berada dalam bilik itu memanggil saya dan terus menampar di bahagian kedua-dua pipi selain menolak kepala,” katanya, semalam.


Katanya, dia tidak tahu punca sebenar guru wanita itu bertindak sedemikian, apatah lagi guru itu juga tiada kaitan dengan kejadian dipanggil bertemu guru disiplin sebelum itu.

“Saya tidak tahu apa kesalahan yang saya lakukan sehingga guru itu menampar dan menolak kepala saya di hadapan beberapa guru lain,” katanya.


Ibu Nik Nor Syazwani, Fatimah Berahim, 57, berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan guru berkenaan namun gagal.

“Saya cuma mahu tahu mengapa guru itu bertindak kasar terhadap anak saya, tetapi dia tidak mahu memberi penjelasan,” katanya.


Pelajar terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada hari kejadian.

myMetro: 8 Oktober 2011

Tiada ulasan: