Khamis, 22 Mac 2012

559 calon raih keputusan A+


ABD. Ghafar Mahmud menunjukkan Buku Pengumuman Keputusan SPM 2011 pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 21 Mac - Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran berbanding 403 calon pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut, 506 calon adalah dari sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi adalah calon sekolah lain.

Katanya, pencapaian keseluruhan SPM 2011 yang menyaksikan 468,808 calon kesemuanya adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan nilai indeks Gred Purata Nasional (GPN) 5.04 berbanding 5.19 pada 2010.

"Sejak 2007 hingga 2011, nilai GPN pada setiap tahun memperlihatkan peningkatan pencapaian calon secara berterusan.

"Saya percaya peningkatan ini disebabkan usaha gigih semua pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak kita," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2011 di sini hari ini.

Menurut Abd. Ghafar, berdasarkan penilaian GPN, pencapaian calon bandar dilihat bertambah baik sebanyak 0.22 iaitu daripada 4.89 pada 2010 kepada 4.67 pada 2011.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga mengalami pertambahan sebanyak 0.13 iaitu daripada 5.52 kepada 5.39.

"Namun, jurang pencapaian calon di bandar dengan luar bandar telah bertambah sebanyak 0.09," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pencapaian sekolah yang dinilai berdasarkan indeks Gred Purata Sekolah (GPS) secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan.

Kata beliau, pencapaian sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 buah.

Bagi sekolah dalam kategori Memuaskan dan Berpotensi pula, katanya, masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17 buah.

Bagi kategori calon berkeperluan khas pula, katanya, seramai 662 calon menduduki peperiksaan lepas berbanding 629 pada tahun sebelumnya iaitu pertambahan sebanyak 33 calon.

"Daripada jumlah itu, seramai 343 calon telah berjaya mendapat sijil SPM berbanding 319 pada 2010.

"Terdapat tiga calon rabun, seorang calon cacat pendengaran, tiga calon lain-lain jenis kecacatan telah mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Mac 2012

Tiada ulasan: