Rabu, 7 Mac 2012

Pendidikan tunjang modal insan berkualiti

KULAIJAYA: Suasana pembelajaran selesa, tidak membebankan serta sokongan ibu bapa dalam pelajaran penting bagi membangunkan modal insan yang bakal menjadi tunjang kepada pengukuhan pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu sekali gus dapat menentukan hala tuju negara pada masa depan.


Beliau berkata, di samping itu, tugas mendidik bukan saja terletak di tangan guru, malah ibu bapa jturut menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan anak masing-masing mendapat pendidikan terbaik.

“Ini titik permulaan untuk kita membentuk sahsiah serta menimbulkan semangat dahagakan ilmu dalam diri anak supaya mereka menjadi insan cemerlang pada masa depan.


“Matlamat ini tidak tercapai jika tiada kerjasama jitu serta hubungan erat antara guru serta ibu bapa dalam usaha memperkasakan anak ini dengan ilmu pengetahuan,” katanya pada perasmian Program Jalinan Mesra Rakyat serta merasmikan Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya yang baru di sini, semalam.


Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghaffar Mahmud; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; exco kerajaan negeri serta pemimpin tempatan.

Menurut Muhyiddin, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi lebih dinamik dan progresif bagi kemajuan negara.


“Proses pendidikan kaedah sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri selain mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan pendidikan kerana ia tunjang kepada proses pembangunan sesebuah negara kerana modal insan pemangkin yang bakal mencorak tahap kemajuan dan kemunduran masyarakat serta negara,” katanya.

myMetro: 7 Mac 2012

Tiada ulasan: