Khamis, 12 Mei 2011

Analisis: KIP kawasan bandar, strategik sentiasa jadi rebutan

Oleh Halina Mohd Noor dan Nurul Farina Nazlan
bhnews@bharian.com.my
2011/05/12

MASALAH Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) usang dan tidak diselenggara seperti dilaporkan akhbar ini sejak tiga hari lalu sebenarnya bukan isu baru.

Ia sewajarnya digunakan semua pihak sebagai asas untuk menilai semula faktor yang menjadi punca keadaan itu berlaku.

Jumlah 3,000 unit KIP terbiar disebabkan keengganan warga pendidik menghuni kediaman itu membuktikan usaha memberikan kemudahan prasarana terbaik kepada warga pendidik tidak mendapat sambutan berikutan beberapa kelemahan yang berlaku dan tidak diatasi dengan segera. Pemilihan lokasi strategik perlu diambil kira sebelum Kementerian Pelajaran membina KIP kerana hasil tinjauan Berita Harian di lima negeri membuktikan kuarters yang tidak dihuni itu jauh daripada kemudahan asas seperti kedai dan Pusat Kesihatan.

Penulis yang membuat tinjauan ke tiga lokasi KIP, termasuk di FELDA Palong, Gemas, Negeri Sembilan boleh memahami mengapa kuarters yang dilihat menyeramkan itu enggan dihuni warga pendidik.

Banyak kelemahan perlu dibaiki bagi membolehkan warga pendidik mendapat kemudahan tempat tinggal lebih sistematik dan diselenggara dengan baik.

Pihak yang diberi tanggungjawab untuk menyelenggara KIP juga perlu prihatin dengan setiap masalah dan kekurangan di kawasan dipertanggungjawabkan supaya guru tidak berasa dianaktirikan, selain terpaksa mengeluarkan kos baik pulih sendiri.
Keadaan sekitar yang sangat menyeramkan dan menyakitkan mata memandang kerana tidak menggambarkan langsung kawasan penempatan warga pendidik dengan semak-samun menjalar, tiada papan tanda serta tahap keselamatan mendukacitakan.

Daripada 380,000 guru di seluruh negara, tentu ramai ingin menetap di kuarters kerajaan jika lokasi dan kemudahan disediakan sesuai dengan pendapatan mereka.

Tinjauan juga mendapati hanya lokasi KIP bandar besar saja yang menjadi rebutan warga pendidik sehingga 2,000 pemohon dalam senarai menunggu di Kuala Lumpur disebabkan lokasinya strategik ditambah dengan kadar sewa di luar jauh lebih tinggi daripada Elaun Tetap Perumahan (ETP) dinikmati kakitangan awam.

Di samping itu, kementerian harus menimbang semula syarat dikenakan ke atas guru bujang yang ingin menetap di KIP kerana ia akan menyusahkan mereka apabila tidak mempunyai teman yang ingin tinggal serumah.

Warga pendidik juga harus memberi kerjasama kepada kementerian dengan mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan kuarters dan tidak terlalu bergantung harap kepada pembiayaan kementerian melalui sekolah dipertanggungjawabkan.

Sikap mengharapkan ETP dan Elaun Sara Hidup (COLA) untuk menampung perbelanjaan seharian lain tidak berbaloi dan mementingkan sehingga menyusahkan kerajaan kerana terpaksa kerugian jutaan ringgit apabila kuarters disediakan terpaksa dibiarkan kosong.

Berita Harian Online: 12 Mei 2011

Tiada ulasan: