Rabu, 11 Mei 2011

Kuarters guru rosak, bocor berulang kali

2011/05/11

SAYA ingin memberi respons kepada laporan mengenai kuarters guru terbiar khususnya di luar bandar. Saya adalah seorang guru yang pernah tinggal di kuarters pendidikan di Pahang.

Pada mulanya penginapan di sana amat selesa kerana masih baru dan dilengkapi perabot. Saya tidak kisah dengan jaraknya yang agak jauh dari tempat mengajar kerana berpagar dan agak selamat untuk anak saya. Namun, selepas hampir dua bulan, keadaan mula berubah.

Tandas mula tersumbat dan bocor. Air bilik mandi sering bertakung menyebabkan keadaan bilik mandi mudah kotor. Tandas unit saya baik, tetapi tandas atau paip najis di tingkat atas bocor. Air najis menitis di unit saya dan baunya kurang menyenangkan.

Saya terpaksa membersihkan air najis yang menitis setiap masa. Keadaan bertambah teruk dan berulat, menyebabkan saya terpaksa menutup tandas itu. Saya mengadu kepada unit pembangunan di Pejabat Pelajaran Daerah. Malangnya, usaha untuk membaik pulih kerosakan dilakukan hampir tiga bulan selepas aduan dibuat. Sebab apa? Kami pun tidak tahu.

Selepas dibaiki, saya sekeluarga terus tinggal di kuarters itu. Tetapi tandas itu bocor kembali dan menjadi lebih teruk dari sebelumnya. Kebocoran paip juga turut berlaku di dapur menyebabkan air sinki menghujani kabinet dapur dan lantai.

Saya terus menghubungi pihak berkenaan, malangnya, usaha membaik pulih tidak dapat dilakukan secepat mungkin atas alasan ketiadaan bajet. Kuarters saya menjadi terlalu kotor dan berbau, menyebabkan ia tidak sesuai untuk didiami apatah lagi untuk menerima tetamu.

Apakah tindakan pihak berkenaan terhadap kuarters yang rosak ini. Kami akur dengan memotong elaun kami, untuk tinggal di kuarters tetapi kementerian gagal menyelenggara sebaik mungkin kerosakan sistem kumbahan yang boleh mendatangkan penyakit.
Saya lebih selesa tinggal di rumah sewa sementara menanti rumah sendiri siap. Kuarters dibiarkan tidak diselenggara.

RAMESH,
Guru DG41

Berita Harian Online: 11 Mei 2011

Tiada ulasan: