2011/05/12
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperbanyakkan pembinaan Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) di bandar, terutama sekitar Lembah Klang kerana guru bertugas di kawasan berkenaan sana lebih memerlukan kemudahan itu berbanding , guru luar bandar.Ini berdasarkan permintaan terhadap kuarters yang sangat tinggi di bandar terutama Lembah Klang sehinggakan ada guru terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kemudahan itu.
Kos sara hidup yang tinggi di bandar turut mendorong kebanyakan guru bujang serta berkeluarga khususnya yang dari luar bandar memilih tinggal di kuarters berbanding menyewa di luar.
Selain menunggu giliran sesama guru, mereka yang bertugas di bandar juga terpaksa bersaing dengan kakitangan lain Kementerian Pelajaran, seperti kakitangan sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tinggal di kuarters.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim, berkata pihaknya ada menerima aduan guru di bandar yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kuarters sehingga tiga tahun lamanya.
“Biasanya kebanyakan guru enggan membuat aduan kerana tidak mahu memanjangkan isu berkenaan tetapi kita ada menerima aduan secara individu kerana guru berkeluarga diberikan keutamaan menduduki kuarters. Guru bujang pula tidak dibenarkan tinggal seorang. Ini tidak adil kerana mereka perlu mencari dua rakan lagi untuk tinggal di kuarters yang dimohon,” katanya.
Guru, Mohd Azlan Abdullah, 29, berkata beliau terpaksa tinggal di luar selepas gagal mendapatkan kuarters berhampiran yang dimohon beberapa tahun dulu kerana isterinya tidak tinggal bersama ekrana bekerja di tempat lain.
“Guru bujang memang selalunya tidak layak menduduki kuarters melainkan yang mempunyai rakan guru bujang yang ingin berkongsi. Itupun jika ada kekosongan,” katanya.
Perkara sama dikongsi Zurawati Mohd Zin, 40, yang terpaksa menunggu dua tahun untuk mendapatkan kuarters di Kampung Baru yang sekarang didudukinya bersama keluarga.
“Saya bersyukur kerana mendapat kemudahan kuarters berdekatan dengan sekolah tempat mengajar. Ada guru yang mendapat kuarters tetapi terpaksa berulang alik ke sekolah yang terletak lebih jauh,” katanya.
Intan Jamilah Jamaludin, 40, berkata beliau bersama suami yang juga guru terpaksa melupakan hasrat tinggal di kuarters selepas menunggu sejak 11 tahun lalu.
“Kadar sewa di Melaka lebih kurang dengan Kuala Lumpur menyebabkan ramai guru memilih tinggal di kuarters tetapi kuota yang disediakan tidak mencukupi,” katanya.
Berita Harian Online: 12 Mei 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan