2011/05/11
TERDAPAT kira-kira 3,000 unit kuarters guru khususnya di luar bandar di seluruh negara dilaporkan terbiar dan tidak didiami guru bertugas di kawasan berkenaan. Antara faktor kuarters ini tidak didiami adalah kerana lokasinya tidak sesuai, jauh dari kemudahan awam dan tidak menjaminkan keselamatan penghuni kerana persekitarannya terpencil.Ini dinyatakan oleh Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim melalui makluman diperoleh dari Kementerian Pelajaran.
Apabila terbiar dan tidak digunakan, maka berlaku kerosakan kerana ia tidak diselenggarakan dengan sempurna oleh pihak bertanggungjawab dan ini merugikan kerajaan kerana prasarana ini dibina dengan jutaan ringgit demi keselesaan guru.
Faktor lain disuarakan guru ialah reka bentuk kuarters lima tingkat yang kebanyakan unit tingkat atas tidak dihuni. Ia tidak digemari guru kerana terpaksa menaiki tangga setiap hari.
Kementerian Pelajaran juga merancang menukar status kuarters tidak diguna pakai ini kepada Persatuan Latihan Dalam Perkhidmatan (PLDK) sebagai pusat latihan dan kursus.
Pada pandangan saya, faktor perancangan institusi pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah patut dilaksanakan dengan lebih komprehensif.
Kuarters guru setinggi lapan tingkat dengan kemudahan lif akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan unit dan menjadikan sesebuah sekolah itu lebih selamat kerana berpenghuni dan memberi banyak manfaat dari segi aktiviti guru dan murid.
MOHD KAMALUDIN ADAM,
Pemilik firma Arkitek ibnuADAM
Berita Harian Online: 11 Mei 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan