Jumaat, 6 Mei 2011

Pengetua dirai majlis persaraan, hari lahir serentak

ARKIB : 03/05/2011

Moy Wah Goon (tengah) bersama isteri, Rita Ghosh memotong kek sempena menyambut ulang tahun kelahiran dan persaraannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 2 Mei - Suasana sayu menyelubungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih di sini apabila pengetuanya, Moy Wah Goon, 58, dirai dalam majlis persaraannya baru-baru ini.

Lebih menyentuh perasaan, majlis perpisahan itu diadakan serentak dengan majlis ulang tahun kelahirannya.

Sempena majlis itu, Wah Goon yang diiringi isterinya, Dr. Rita Ghosh memotong kek ulang tahun kelahiran dan persaraannya.

Wah Goon ketika ditemui selepas majlis itu berkata, beliau telah berkhidmat dalam bidang perguruan selama 33 tahun.

Lebih manis lagi, katanya, impiannya untuk menamatkan perkhidmatan di sekolah tersebut terlaksana.

"Saya memulakan karier sebagai guru di Sekolah Menengah Teknik Kuantan pada 1978 sebelum bertukar ke SMK Tanah Putih pada 1995," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Selepas menjadi guru selama sembilan tahun di SMK Tanah Putih, Wah Goon yang berkelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) itu memberitahu, beliau ditukarkan ke SMK Cenderawasih pada 2004 sebagai pengetua.

Bagaimanapun, katanya, ketika berusia 55 tahun, beliau memohon untuk menangguhkan persaraannya sebanyak dua kali untuk kembali ke SMK Tanah Putih.

Sepanjang berkhidmat di SMK Tanah Putih, katanya, beliau berjaya melahirkan seramai 21 pelajar yang memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, sekali gus menjadikan sekolah tersebut sebagai sekolah kedua terbaik di daerah ini.

Bagi mengenang jasa Wah Goon, pihak pengurusan SMK Tanah Putih menganjurkan majlis persaraan berikutan kecemerlangannya sebagai pengetua.

Utusan Malaysia Online: 6 Mei 2011

Tiada ulasan: