Oleh Nurul Halawati Azhari
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Nilai-nilai seorang guru yang cemerlang memang terpancar pada pertuturan dan air wajahnya. Kata-katanya lembut dan berhemah bukti pengalaman mengajarnya selama 41 tahun.
Asnah Mansor, 58, adalah antara tokoh pendidik cemerlang dan wajar dicontohi. Walaupun tahun ini sambutan hari guru tidak lagi diraikan di sekolah, namun, semangat guru tetap sebati dalam jiwanya biarpun baru sebulan bergelar 'cikgu pencen'.
Bagi Asnah, mengenang kembali sambutan hari persaraan beliau di sekolah terakhir beliau berkhidmat, Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2 tentu sahaja satu kenangan manis dalam kerjaya perguruannya.
Daripada sekecil-kecil murid pra sekolah hinggalah ke murid tahun 6, mereka berkumpul meraikan guru yang disayangi. Seronok melihat gelagat mereka membuat persembahan penuh ikhlas di atas pentas.
Paling mengembirakan apabila melihat barisan panjang murid yang diajarnya beratur memegang hadiah buat Cikgu Asnah yang disayangi. Bagi seorang guru bukan hadiah yang dinanti tetapi didikan dan tunjuk ajarnya yang diingati mereka.
Asnah tentu sahaja merindui wajah-wajah polos anak-anak masa depan negara itu. Bahkan tentu sahaja beliau merindui rakan seperjuangan.
LOMPONG DALAM PENDIDIKAN
Istimewanya guru bersara ini ialah semangat dan dedikasi beliau dalam menjalankan tugasnya yang wajar dicontohi oleh kelompok guru muda hari ini.
Bagi Asnah, tugas guru semakin mencabar lebih-lebih lagi apabila anak murid lebih ke hadapan daripada guru. Malahan karenah dan harapan ibu bapa juga adalah satu cabaran buat guru masa kini.
"Dunia pendidikan sekarang memang banyak berubah. Cabaran yang dihadapi oleh guru lebih besar berbanding dahulu. Apatah lagi dengan keadaan murid sekarang yang lebih ke hadapan berbanding guru dan ada juga yang kurang menghormati orang tua," kata Asnah yang telahpun melalui pelbagai fasa perubahan dalam sistem pendidikan negara.
Pandangan Guru Cemerlang Bahasa Malaysia ini mengenai perkembangan pendidikan negara dari kaca mata seorang guru yang telah lama berkhidmat, mungkin boleh dijadikan panduan.
Bagi Asnah, sebagai guru, beliau melihat terdapat lompong dalam sistem pendidikan negara. Walaupun akur bahawa setiap perubahan polisi yang dilaksanakan adalah bertujuan membuat penambahbaikan, tetapi ada beberapa perkara yang kurang berkaitan.
"Sebagai guru di sekolah rendah, saya melihat murid sama ada di bandar mahupun luar bandar, mereka kurang pendedahan kepada dunia luar. Berbeza dengan murid yang pernah mengikuti ibu bapa mereka ke luar negara dan bersekolah di sana, apabila pulang ke sini, corak pengajaran dan sistemnya seperti menyekat kemahiran dan kreativiti mereka."
Menurut Asnah, memang benar seperti yang banyak diperkatakan, corak pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar mudah hilang arah. Jika guru boleh menerapkan lebih banyak elemen praktikal dalam pengajaran mereka, murid akan lebih pro aktif dan dapat mengasah kemahiran.
"Contohnya mata pelajaran Kemahiran Hidup, walaupun diajar sejak tahun empat, apabila masuk tingkatan 1, masih ada yang ketuk paku pun tak lepas. Sia-sia sahaja tiga tahun mereka belajar kelas Kemahiran Hidup kerana apabila masuk tingkatan 1, asas yang sama perlu diulang."
"Saya fikir, fokuskan murid terhadap apa yang mereka minat sejak di sekolah rendah lagi. Di tahun 1-3, kita melihat perkembangan dan minat mereka, kemudian masuk tahun empat hingga enam, mereka sudah tahu pengkhususan masing-masing. Mereka juga perlu didedahkan dengan dunia kerjaya sejak di peringkat sekolah rendah lagi," saran beliau.
TERLALU TUMPU PEPERIKSAAN
Menurut beliau, tumpuan yang terlalu terhadap peperiksaan boleh menyebabkan guru mengabaikan murid yang tidak berada di tahun peperiksaan. Apabila di sekolah menengah pula, guru lebih tertumpu kepada pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima.
Sedangkan pelajar yang baru memasuki sekolah menengah memerlukan bimbingan. Di pihak ibu bapa pula, mereka percaya jika anak berjaya mendapat 4A atau 5A, mereka akan cemerlang di sekolah menengah.
"Sebenarnya di peringkat awal sekolah menengahlah mereka perlu diberi lebih perhatian. Kadang-kadang, kita terlepas pandang hal ini menyebabkan ramai anak Melayu yang tercicir sebaik sahaja memasuki sekolah menengah kerana fokus mereka terganggu dan dipengaruh dengan anasir lain.
Sebagai guru yang berpengalaman mengajar Bahasa Malaysia di sekolah rendah, mereka memikul tangungjawab membentuk sahsiah. Menurutnya, dahulu, pembelajaran Bahasa Malaysia adalah satu daripada subjek yang boleh dijadikan medium membentuk peribadi pelajar.
"Misalnya sebelum memulakan pembelajaran, cikgu dah terapkan nilai-nilai moral yang baik terhadap seisi kelas. Kemudian barulah pelajaran bermula. Malahan semasa sesi pembelajaran berlangsung, guru boleh bertindak menarik perhatian dan kesedaran pelajar tentang nilai-nilai murni," sambung Asnah yang bergelar Guru Pakar Bahasa Malaysia dan bergelar Guru Cemerlang 1Malaysia.
Bukti kejayaannya apabila hasil kecemerlangan pengajarannya dalam kelas telah dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) dan diedarkan ke semua sekolah rendah di seluruh negara.
KERJASAMA GURU DAN IBU BAPA
Sebelum memulakan kerjaya perguruannya sebagai lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris), Asnah sudah mula mengajar secara sambilan selama lapan tahun. Sehinggalah beliau ditawarkan ke MPSI dan sejak itu, beliau menetapkan fokusnya untuk menjadi guru.
Beliau mencurahkan ilmu di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya iaitu di Sekolah Kebangsaan Sri Pangkor, Sekolah Convent Bukit Nanas, Sekolah Kebangsaan Jalan Peel, Sekolah Kebangsaan Yaakob Latif 2 dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2. Sepanjang tempoh itu, beribu murid diajarnya termasuk Menteri Besar Perak sekarang, Datuk Seri Diraja Dr Zambri Abd Kadir.
Bagi wanita yang berperwatakan tenang ini, kejayaan seseorang murid dan sesebuah sekolah adalah hasil kerjasama antara guru dan ibu bapa. Jika dahulu, ibu bapa sering ke sekolah untuk menyokong PIBG, hari ini ibu bapa hadir ke sekolah semata-mata untuk membuat aduan terhadap guru.
"Saya fikir, sebagai guru, pasti ada sebab anak murid dimarahi. Bukan semua guru sengaja memukul atau memarahi anak murid. Misalnya tidak menyiapkan kerja sekolah, malas atau tidak menghormati guru.
Bila keadaan ini timbul, guru pun boleh tawar hati untuk mengajar dengan ikhlas apabila kepercayaan daripada ibu bapa tidak diperoleh," sambung Asnah.
Asnah juga melihat perubahan semangat kerjasama sesama guru sudah jauh berbeza.
Walaupun tugas guru memang berat ditambah dengan bebanan tugas selain mengajar, Asnah berpendapat kerjasama sesama guru perlu dipupuk bagi mengurangkan beban itu. Kesibukan guru mungkin menyebabkan mereka terpaksa bertindak sendirian berbanding guru pada 10-20 tahun lepas.
"Saya masih ingat, dulu rakan-rakan setugas banyak membantu dalam menyiapkan tugasan mengajar untuk mendapatkan taraf guru pakar. Ia menjadi kerjasama berpasukan berbeza hari ini guru lebih banyak mengambil sikap sendiri-sendiri, mungkin perkara ini juga perlu diberi perhatian agar profesion ini terus dipandang tinggi," katanya.
ANAK BERJAYA
Beliau bukan sahaja bergelar guru cemerlang, bahkan ibu kepada empat orang anak dengan lima orang cucu ini juga cemerlang sebagai ibu apabila anak-anaknya juga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading hingga ke luar negara.
Anak sulungnya, Mohamad Nizam Mohamed Shapie, 32, sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di University of Wales Institutes Cardiff, United Kingdom, yang kedua Mohamad Azlan, 31, Pengarah di sebuah syarikat swasta, anak ketiga Mohamad Fahmi, 30, seorang guru dan yang bongsu Noor Izni, 28, bergelar doktor perubatan dan kini bertugas di Hospital Kuala Lumpur.
Bagi Asnah, sokongan suami Mohamed Shapie, 63, bekas pegawai di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa membantu adalah pendorong kejayaan mereka sekeluarga.
Sebagai guru dan ibu, Asnah berpendapat, kemahiran seorang anak perlu dilihat sejak mereka di sekolah rendah. Manakala ibu bapa pula, jangan terlalu mengongkong anak dengan pelajaran sahaja. Didikan agama juga perlu agar mereka seimbang. Beri juga ruang untuk mereka bermain kerana anak-anak di sekolah rendah akan menjadi lebih kreatif dan cerdas apabila mereka diberi kebebasan untuk bermain.
"Bayangkan kepenatan mereka yang terpaksa belajar di sekolah dan kemudian petang ke sekolah agama dan malamnya pula ke pusat tuisyen. Jadi mereka perlu diberi ruang bagi melepaskan tekanan tersebut. Misalnya dengan mengizinkan mereka keluar bermain selepas pulang dari sekolah agama.
"Sekurang-kurangnya ia dapat melepaskan tekanan belajar yang dihadapi," tambah guru bersara ini sambil berharap akan adanya perubahan yang lebih relevan terhadap dunia pendidikan di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA: 30 Mei 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan