Jumaat, 20 Mei 2011

Rintihan hampa seorang guru

Umum tahu 16 Mei setiap tahun adalah Hari Guru. Saya sendiri sudah 12 tahun bersara sebagai guru.

Saya teringat sambutan Hari Guru tahun 1977. Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Tiga atau empat hari sebelum tarikh tersebut, saya menerima sepucuk telegram daripada Jawatankuasa Sayembara Mengarang Novel Hari Guru 1976, menjemput saya ke majlis penyampaian hadiah di Dewan Tunku Canselor kerana karya saya berjaya memenangi salah satu hadiah tersebut.

Walaupun saya hanya mendapat hadiah sagu hati, saya rasa amat gembira, berbaloi penat lelah saya selama lebih kurang enam bulan menghasilkan karya saya berjudul Keretapi. Sesuai dengan judul novel, saya membawa isteri dan anak yang ketika itu berusia lima tahun menaiki kereta api dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

Apabila sampai ke Dewan Tunku Canselor, saya dan lima pemenang lagi disambut oleh seorang petugas. Dibisikkan kepada saya bahawa di kalangan pemenang sagu hati, novel Keretapi adalah yang terbaik. Malah dibisikkan ia dicadang dijadikan buku teks sastera tingkatan tiga.

Saya hanya tersenyum. Saya tidak yakin novel saya akan terpilih. Novel saya hanya novel kanak-kanak. Kisah dalam novel itu hanya kisah biasa sahaja. Lagipun saya seorang penulis yang langsung tidak dikenali. Ketika itu saya hanya menulis dua buah buku, sebuah novel kanak-kanak dan sebuah kumpulan cerpen kanak-kanak terbitan Saudara Sinaran Berhad Pulau Pinang terbitan tahun 1967, sepuluh tahun terdahulu dari tarikh Hari Guru 1977.

Pemenang-pemenang hadiah utama iaitu Saudara Baharudin CD, Abd. Talib Hassan dan Ibrahim Omar adalah penulis-penulis yang sudah terkenal pada masa itu. Novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar telah pun dijadikan teks Sastera tingkatan lima. Tentu novel-novel mereka lebih berpeluang menjadi buku teks sastera bagi kelas seperi tingkatan tiga. Cukuplah novel saya menjadi buku bacaan di perpustakaan sekolah, saya terfikir.

Hari itu kami menerima hadiah masing-masing daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran. Masa itu hadiah tidaklah besar, hadiah utama RM3,000, RM2,000 dan RM1,000. Pemenang hadiah saguhati hanya menerima RM500 sahaja. Saya rasa sangat gembira bukan kerana RM500 tetapi mengenangkan tak berapa lama lagi saya akan melihat novel Keretapi di kedai-kedai buku termasuklah melihat novel itu di perpustakaan di sekolah tempat saya mengajar.

Tidak berapa lama kemudian, novel-novel yang mendapat hadiah utama diterbitkan. Saya membeli ketiga-tiga buah novel tersebut. Saya menunggu penerbitan novel saya pula. Tunggu punya tunggu tidak juga diterbitkan. Saya menulis di akhbar Utusan Malaysia, bertanyakan hal ini tetapi tidak mendapat reaksi dari mana-mana pihak. Saya amat kecewa.

Kemudian, saya menyertai Peraduan Menulis Novel Kanak-Kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya tidak memenangi sebarang hadiah. Saya berasa sedikit terkejut apabila DBP menghubungi saya mengatakan bahawa pihak DBP akan menerbitkan novel saya berjudul Cahaya dengan sedikit pindaan.

Saya tersenyum memikirkan novel saya yang kalah pun dapat diterbitkan. Pihak DBP mahu saya memberi persetujuan akan pindaan yang mereka buat. Saya pun bersetuju. Judul novel saya Cahaya telah ditukar kepada Inah. Saya merasakan tindakan DBP meminda manuskrip saya kerana mahu menyesuaikan isi buku untuk kanak-kanak dengan pembaca di kalangan kanak-kanak. Novel Inah telah dicetak dua kali. Terima kasih tak terhingga kepada DBP.

Hari ini, setelah menunggu 34 tahun, novel yang saya menangi ketika hadiah Sayembara Novel Hari Guru 1976 tidak juga diterbitkan. Saya berasa kecewa dan letih. Saya tidak lagi mengharapkan Keretapi diterbitkan kerana ceritanya mungkin tidak lagi memenuhi cita rasa pembaca di era zaman milinieum ini. Kalau dapat diterbitkan juga, syukur Alhamdulillah.

Di sini, saya meminta jasa baik sesiapa yang menyimpan manuskrip novel Keretapi agar memulangkannya kepada saya kerana saya tidak menyimpan salinannya. Tentu semua orang tertanya-tanya mengapa sampai tiada salinannya. Ketika menulis novel tersebut, saya cuma mencatat di kertas-kertas. Kemudian menaip dengan menggunakan mesin taip berjenama Brother dan saya tidak menggunakan kertas karbon sebagai penduanya kerana mengejar waktu.

Setelah selesai menaip tidak ada waktu pula untuk saya membuat salinan karya saya itu. Manuskrip saya sampai ke meja pengadil sehari sebelum tarikh tutup. Saya sebagai seorang guru selalu memastikan kerja sekolah yang akan saya dahulukan. Ini yang membuatkan saya kelam kabut. Lagipun saya selalu terfikir, kalau karya saya tidak dapat diterbitkan, pihak berkenaan akan mengembalikan manuskrip saya.

Bolehkah manuskrip novel Keretapi saya ditemui semula? Sejarah telah membuktikan dokumen-dokumen penting yang hilang ribuan tahun lalu dapat ditemui semula.

Saya sangat mengharapkan dapat membaca kembali karya Keretapi yang saya tulis 34 tahun lalu. Mungkin, pada ketika anak-anak sudah berjauhan, kesunyian adalah teman sejati. Selain mengisi waktu terluang di usia ini dengan beribadah, saya juga ingin sekali membaca novel hasil karya sendiri. Kasihanilah saya.


Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2011

Tiada ulasan: