Isnin, 1 Mac 2010

Ekspedisi ke sekolah pedalaman


Mohd. Puad Zarkashi pertama kali berucap dalam keadaan gelap dan menggunakan pembesar suara akibat ketiadaan elektrik di SK Kuala Salung, Pensiangan, Sabah baru-baru ini.


USAHA kerajaan untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar tidak pernah terhenti dan dilakukan dengan pelbagai cara dan pendekatan.

Mengenal pasti masalah sebenar dan mencari jalan penyelesaian untuk jangka masa pendek atau panjang adalah jaminan dan tanggungjawab kerajaan melalui Kementerian Pelajaran.

Bagi Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang diberi tugas menjaga kebajikan dan keperluan sekolah-sekolah di pedalaman, tanggungjawab itu bukan satu perkara yang mudah.

Beliau perlu melawat sekolah-sekolah luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak untuk melihat dan menilai sendiri segala bentuk kekurangan yang ada.

Di Sabah, Puad sudah menjelajah hampir ke semua sekolah pedalaman termasuk kawasan yang hanya boleh dihubungi dengan jalan balak atau menaiki bot di pulau-pulau terpencil.

Lawatan terbaru beliau ialah selama tiga hari ke lima buah sekolah di pedalaman Pensiangan pada minggu lalu yang hanya boleh dikunjungi melalui jalan darat dan tiga batang sungai dengan menaiki bot.

Perjalanan bermula pada Isnin lalu dengan menggunakan jalan darat menaiki pacuan empat roda dari Kota Kinabalu dan merentasi tiga pekan utama iaitu Keningau, Sook dan Nabawan.

Turut serta dalam lawatan Puad ialah isterinya, Dr. Rubiah Leman, Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhyiddin Yusin, Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan, Osman Aganduk dan rombongan dari kementerian.

Lebih lima jam perjalanan diambil dari ibu negeri ke Nabawan sebelum melalui jalan kampung yang turut digunakan untuk mengangkut balak selama hampir dua jam untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Salung.

Kawasan sekolah itu yang menggunakan air graviti dan mendapat tenaga elektrik daripada solar hibrid, tidak mempunyai talian komunikasi kecuali melalui telefon yang disediakan.

Pada malam majlis sambutan di sekolah itu, Puad berucap dengan mengggunakan pembesar suara dalam keadaan gelap kerana bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.

"Ini adalah pertama kali saya berucap dalam gelap dan terpaksa pula guna pembesar suara, tetapi saya gembira dengan sambutan ibu bapa dan murid di kawasan ini," kata Puad.

Di sekolah itu, beliau turut berdialog dengan guru-guru dan ibu bapa mengenai masalah yang disuarakan seperti ketiadaan kemudahan asas, kekurangan bilik darjah dan sebagainya.

Keesokan hari, rombongan Puad menerusi Jeti Kampung Salung, mengadakan lawatan ke SK Tinanduk, SK Pensiangan, SK Sibangali dan SK Saliliran yang semuanya hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai.

Bertolak seawal pukul 6.30 pagi dengan perahu panjang yang menggunakan kuasa enjin, lawatan pertama adalah di SK Tinanduk yang hanya mempunyai satu blok bangunan lama diperbuat daripada kayu.

Bangunan kayu tersebut menempatkan dua bilik darjah dan sebuah bilik guru selain tidak memiliki apa-apa kemudahan lazimnya bagi sekolah termasuk padang atau bilik sumber.

Puad meninjau sendiri sebuah bilik darjah yang dibina oleh orang kampung dan guru selain mendengar sendiri rintihan guru-guru di situ yang amat memerlukan kuarters guru.

Ketika ini, terdapat beberapa guru yang baru ditugaskan di situ terpaksa menumpang di sebuah kuarters guru yang uzur lagi sempit. Jadi barangan serta pakaian mereka terpaksa disimpan di dalam stor sekolah itu.

Semasa melawat ke SK Pensiangan dan Sibangali pula, Puad turut dimaklumkan masalah yang sama termasuk keperluan mendesak untuk menyedia sebuah asrama desa.

Ini kerana jarak rumah murid-murid dari sekolah itu adalah jauh dan pada masa yang sama ibu bapa tidak mampu menampung keperluan petrol untuk enjin perahu mereka setiap hari kerana rata-ratanya miskin.

Keadaan itu membuatkan masalah ponteng sekolah adalah perkara biasa dan lebih teruk lagi, terdapat ibu bapa yang tidak sanggup untuk meneruskan persekolahan anak-anak mereka.

SK Saliliran adalah destinasi terakhir dalam rangka lawatan Timbalan Menteri Pelajaran itu. Untuk sampai ke SK Saliliran, rombongan perlu menggunakan laluan sungai sebelum berjalan kaki selama lebih enam jam bermula dari pangkalan Kampung Sinipar melalui jalan hutan.

Sebelum sampai ke pangkalan itu, ahli rombongan termasuk Puad terpaksa mengangkat dan menyorong perahu di laluan tertentu kerana paras air yang terlalu cetek akibat kemarau.

Puad turut sama turun dan beberapa kali menolak perahu dalam keadaan panas terik selain berjalan kaki di tebing sungai dan keadaan itu mengambil masa kira-kira tiga jam.

Semua kepayahan dan kesusahan itu berakhir di Pangkalan Kampung Sinipar kira-kira pukul 5.40 petang sebelum memulakan perjalanan darat dengan berjalan kaki ke SK Saliliran.

Keseluruhan masa perjalanan dari Jeti Kampung Salung ke pangkalan itu setelah melawat tiga sekolah sebelumnya ialah hampir 13 jam. Mereka telah mengharung tiga batang sungai iaitu Logongon, Tagol dan Sibangali.

Perjalanan ke SK Saliliran yang bersempadan dengan Kalimantan, bermula pukul 6 petang memasuki kawasan hutan tebal yang berbukit bukau dan meredah beberapa anak sungai.

Ekspedisi tersebut penuh mencabar kerana terpaksa melalui dua jambatan gantung yang tinggi dan panjang selain melintasi banyak titian kayu dan dua jambatan balak.

Trek yang ada juga amat merbahaya kerana licin, berair dan juga berkedudukan di cerun-cerun bukit dan gaung selain berisiko terserempak dengan binatang buas.

"Saya terbaring dalam lumpur sebanyak empat kali akibat keletihan. Ini adalah pertama kali saya berjalan dalam hutan pada waktu malam, perjalanan ini membuatkan saya hampir pengsan," kata Puad.

Rombongan beliau sampai ke sekolah tersebut walaupun tersesat kira-kira pukul 12 malam dan disambut oleh penduduk kampung dan murid-murid yang masih lagi lengkap dengan pakaian sekolah.

Beliau menganggap sekolah tersebut terletak di kawasan yang paling pedalaman di negara ini dan kejayaan menjejakkan kaki ke situ adalah di luar jangkaan sama sekali.

"Bila sampai di SK Saliliran saya rasa sudah sempurna tugas saya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran. Sebelum ke sini saya membuat persediaan dengan berjoging selama dua minggu untuk mendapatkan stamina.

"Lawatan ini akan menyempurnakan kertas kerja saya dalam usaha untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar sebelum dibentangkan kelak," katanya.

Melalui lawatan ke semua sekolah tersebut, Puad menyerahkan surat penghargaan kepada semua guru yang dikarang sendiri olehnya sebagai tanda penghargaan.

Utusan Malaysia Online: 1 Mac 2010

1 ulasan:

CFJ berkata...

Tahniah Dato..! Di atas keperihatinan Dato melawat anak-anak bangsa di Sabah.