Selasa, 30 Mac 2010

Saman jika sekolah berdiam diri

KUALA LUMPUR: “Saya tidak akan teragak-agak menyaman pihak sekolah kerana terus berdiam diri dan gagal mengambil tindakan terhadap kejadian cabul anak perempuan saya,” kata ibu mangsa cabul rakan sekelas di sebuah sekolah rendah di Bangsar.

Ibu mangsa, Salbiah Mohamed Yusof, 33, berkata tindakan mahkamah itu akan diambil kerana mendakwa pihak sekolah berkenaan enggan bertanggungjawab terhadap kejadian cabul membabitkan beberapa murid lelaki sekolah itu selain enggan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Perkara ini membabitkan maruah anak saya. Akibat perbuatan rakan sekelasnya itu, pelajarannya terjejas teruk kerana setiap hari perlu berdepan ejekan dan tohmahan murid lain di sekolahnya.


“Lebih mengecewakan, pihak sekolah seolah-olah menutup mata terhadap kejadian ini dan tergamak mengatakan anak saya sengaja mahu memperbesarkan perkara ini kerana mendedahkannya di Harian Metro baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, dia amat kesal dengan pendekatan yang diambil sekolah terbabit yang seolah-olah tidak memandang serius perkara berkenaan sedangkan kejadian sedemikian mungkin akan berlaku terhadap pelajar lain jika pihak sekolah tidak mengambil tindakan tegas. Salbiah berkata, dia sudah memberi peluang kepada pihak sekolah membuat penjelasan ketika kes ini berlaku. Hingga kini juga ibu bapa murid yang melakukan perbuatan tidak senonoh itu langsung tidak bersemuka dan memohon maaf.


“Saya juga kesal tindakan wakil Kementerian Pelajaran yang mengarahkan saya menarik balik laporan polis yang dibuat selain turut diarah untuk menulis surat pengakuan bahawa saya akan menarik balik laporan berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian Oktober lalu, mangsa yang berusia 11 tahun dicabul termasuk diraba payudaranya oleh temannya gara-gara gurauan nakal mahu memberikan RM2 jika rakan sekelas berani menumbuk dinding sebanyak 35 kali namun perbuatan tidak bermoral itu berlaku selepas dia gagal menunaikannya.


Akibat trauma kejadian itu, mangsa terpaksa ditukarkan ke sekolah khas untuk perempuan kerana tidak tahan menanggung malu selain mangsa takut jika berjumpa lelaki. Sementara itu, Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir berkata, sekolah terbabit perlu mengambil serius sebarang masalah yang berlaku di kalangan murid sama ada ia serius atau tidak.

myMetro: 30 Mac 2010

1 ulasan:

razlita berkata...

Ada baiknya jika para guru didedahkan juga dgn Akta Kanak Kanak serta Akta lain yg berkaitan.