Rabu, 5 Oktober 2011

Ibu bapa tiga murid sepakat teruskan saman

BINTANGOR 4 Okt. - Ibu bapa tiga murid yang dihalang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepakat untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap guru yang dikatakan mengurung anak mereka daripada menduduki peperiksaan tersebut bulan lalu.

Meskipun gembira anak-anak mereka dibenarkan mengambil UPSR hari ini, ibu bapa terbabit tidak berhasrat untuk menarik balik tindakan mereka menyaman pihak yang terlibat dengan insiden berkenaan.

Bapa salah seorang murid terlibat, Ganyol Lubok berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada seorang peguam yang mewakili keluarga ketiga-tiga murid terbabit untuk meneliti tindakan undang-undang yang akan diambil.

"Kami semua sepakat akan meneruskan tindakan undang-undang ke atas guru yang menyebabkan anak kami dikurung serta dihalang menduduki UPSR.

"Tindakan ini dilakukan untuk memberi pengajaran supaya kejadian seumpama ini tidak berulang kepada ibu bapa serta anak-anak lain," katanya ketika ditemui di hadapan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Meradong di sini, hari ini.

Terdahulu, Ganyol menemani anaknya, Idie manakala dua lagi murid iaitu Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi masing-masingnya ditemani ibu mereka, Molly Nilau, 39, dan Bijik Jampi, 46, ke PPD Meradong untuk menduduki UPSR.

Ganyol berkata, dia lega apabila anaknya dapat menduduki semula UPSR dan berharap dia berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

"Meskipun anak saya dikatakan lemah dalam pelajaran, sekurang-kurangnya dia mencuba dan memperoleh sijil supaya boleh digunakannya untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan satu hari nanti.

"Kita mana boleh jangka jika pada masa depan seseorang yang mahu menjadi tukang kayu pun kena memiliki sijil UPSR, maka ujian ini penting kepada anak saya," katanya,

Utusan Malaysia Online: 5 Oktober 2011

4 ulasan:

Guru Borneo berkata...

untung-untung..

Tanpa Nama berkata...

cara mudah ibu bapa mencari duit. Bukan untuk kepentingan anak, tetapi poket sendiri. Kalau jaga kepentingan anak, pelajaran anak pasti dipantau sebaiknya.

Tanpa Nama berkata...

hai untunglah peguam itu, masuk poket.

Tanpa Nama berkata...

ni mesti ada pihak yang menghasut ibu bapa ni..