Rabu, 5 Oktober 2011

Sekolah bagai tak hargai jasa guru

2011/10/05

SAYA ingin menarik perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung isu pemberian markah untuk prestasi guru. Saya mengajar Bahasa Inggeris (BI) di sekolah rendah luar bandar di daerah Kuala Lipis. Sekolah ini tidak pernah ada seorang pun murid mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR apatah lagi lulus 100 peratus dalam BI. Namun tahun lalu seorang murid mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR dan lebih membanggakan pelajar sekolah ini lulus 100 peratus dalam subjek BI.

Rating sekolah ini pun naik mendadak. Penduduk kampung buat kenduri kesyukuran.
Malangnya kejayaan bersejarah ini tidak pula dicerminkan oleh markah prestasi yang saya peroleh, iaitu 84 peratus. Kejayaan dikecapi tidak datang begitu saja. Ia adalah hasil usaha membuat kelas tambahan, buat asrama mini tidur dekat sekolah dan pernah juga buat kelas tambahan waktu malam. Guru sanggup mengorbankan masa bersama keluarga demi mendidik anak bangsa. Segala penat lelah mendidik anak bangsa seolah-olah tidak dihargai pihak sekolah. Pihak sekolah memberikan sijil penghargaan ‘telah dianugerahkan guru cemerlang’ kerana lulus 100 peratus Bahasa Inggeris, namun markah hanyalah 84 peratus, tidak begitu cemerlang.

Saya ingin bertanya kepada KPM bagaimanakah markah menilai prestasi guru? Saya tidak meminta markah 100 peratus tetapi biarlah berpadanan dengan penat lelah saya. Saya percaya ramai juga guru menghadapi masalah sama. Bukan tidak ikhlas tetapi hargailah dengan sewajarnya.

GURU YANG BINGUNG,
Kuala Lipis

Berita Harian Online: 5 Oktober 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Guru BI, jgn kecewa, teruskan usaha anda. Ini bukan perkara baru, memang ramai pentadbir yg "buta mata" dan tidak menghargai. Mereka inilah sebenarnya perosak perkembangan pendidikan di Malaysia. Malangnya mereka langsung tidak menyedari atau mungkin juga memilih untuk "berbuat bodoh".