Khamis, 12 Mei 2011

7 kuarters jadi pusat latihan

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2011/05/12

Program kursus boleh dilaksana ikut zon, jimatkan kos kementerian

PUTRAJAYA: Sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) terbiar di seluruh negara, Kementerian Pelajaran mengenal pasti tujuh kompleks KIP dijadikan sebagai pusat latihan guru.

Langkah itu membabitkan empat KIP yang diambil alih oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan tiga oleh Institut Aminudin Baki (IAB) bagi dijadikan pusat latihan masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata langkah itu adalah antara usaha kementerian untuk menggunakan sepenuhnya unit KIP yang kosong kerana enggan diduduki oleh guru di seluruh negara.

Katanya, selepas ini, guru atau guru besar yang diarah menjalani latihan atau kursus tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur atau IAB di Genting Highlands, sekali gus mengurangkan kos kementerian.

Pengambilalihan KIP oleh IAB membolehkan guru menjalani latihan atau kursus di zon masing-masing iaitu Pasir Putih bagi Zon Timur; Bandar Tenggara (Selatan) dan Simpang (Utara) yang turut menjimatkan kos latihan kementerian.

“Pusat latihan di KIP Batu Pahat sudah mula beroperasi, manakala di Pasir Putih memulakan kerja pengubahsuaian minimum,” katanya sambil menjelaskan langkah pengambilalihan bermula sejak tahun lalu.
Beliau berkata, kerja ubahsuai yang minimum diperlukan bagi menyesuaikan unit berkenaan sebagai pusat latihan.

Katanya, usaha menyewakan unit kosong kepada agensi lain juga diteruskan dan kementerian mensasarkan supaya semua unit KIP tanpa penghuni dapat digunakan tidak lama lagi.

Berita Harian sebelum ini melaporkan kira-kira 3,000 unit KIP, khususnya di luar bandar, terbiar begitu saja kerana tidak didiami oleh guru kerana pelbagai faktor, termasuk lokasinya yang tidak sesuai dan tidak disenggara dengan baik.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata antara langkah yang diambil ialah menyewakan unit kosong kepada agensi kerajaan lain untuk kegunaan mereka.

Abdul Ghafar berkata, dengan kedua-dua langkah itu, sebahagian besar isu berkenaan dijangka selesai dan pihaknya akan memikirkan strategi lain jika masih ada unit yang tidak digunakan.

Mengenai rungutan Persatuan Warga Guru Alam Damai yang mendakwa guru terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM40,000 untuk membaiki kebocoran paip bawah tanah, Abd Ghafar mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun, saya akan mendapatkan laporan lengkap daripada bahagian teknikal dan kewangan sebelum mengulas lanjut,” katanya.

Beliau juga mengesahkan peruntukan untuk memperbaiki bangunan KIP sepenuhnya adalah tanggungjawab kementerian tetapi pembiayaan kos biasanya mengambil masa.

INFO: Kuarters Institusi Pendidikan

  • Empat KIP diambil alih oleh BPG di Sungai Karangan, Sungai Petani, Kedah; Sungai Buloh, Ipoh, Perak; Bandar Tenggara, Johor dan Temerloh, Pahang.

  • Tiga KIP diambil alih oleh IAB di Bukit Jawa, Pasir Putih, Kelantan; Simpang, Taiping, Perak dan Batu Pahat Johor.

  • Berita Harian Online: 12 Mei 2011

    1 ulasan:

    Cikgu Musi berkata...

    tindakan yang memang bijaksana...