JOHOR BAHRU 29 Mei - Golongan guru disaran meningkatkan kemahiran dan daya kepimpinan mereka bagi membantu melonjak prestasi para pelajar pada masa akan datang.
Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, budaya seperti itu merupakan sesuatu yang sangat diperlukan untuk mewujudkan pelajar yang bertanggungjawab dan berwawasan.
Menurutnya, guru juga perlu memastikan ilmu yang disampaikan dapat diadaptasikan para pelajar dalam dunia sebenar bagi membina sebuah negara bangsa berjaya.
"Sesungguhnya profesion guru ini hanya layak kepada mereka yang bersedia mencurahkan jiwa dan raganya terhadap pendidikan anak bangsa.
"Sekiranya semua guru bersama berganding bahu memikul amanah yang dipertanggungjawab maka segala yang sukar akan menjadi mudah," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Pasir Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, di sini semalam.
Pada majlis itu juga, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai, Musleha Othman, 62, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Pasir Gudang 2011 di atas sumbangannya selama ini dalam meningkatkan kualiti pendidikan.
Mohd. Nor berkata, guru pastinya menjadi harapan untuk membentuk jati diri pelajar yang kukuh serta berdaya saing di samping berpegang teguh pada nilai-nilai agama.
Katanya, kecekapan guru menerusi sistem pendidikan di negara ini dilihat mampu mewujudkan generasi muda yang berfikiran global yang tidak membelakangkan ciri-ciri tempatan.Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011
1 ulasan:
Pengarah JOHOR yg baharu ka? Markom pi mana. Dah naik pangkat ka @ bersara?
Catat Ulasan