Selasa, 17 Mei 2011

Kaedah baru kenaikan pangkat bantu jati diri guru

KUALA LUMPUR 16 Mei - Kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru hari ini diharap dapat meningkatkan lagi jati diri guru sebenar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, peluang peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan mereka bagaimanapun perlu dinilai melalui kriteria menyeluruh iaitu bukan sahaja bersandarkan pencapaian akademik.

Katanya, antara kriteria lain yang boleh diambil kira adalah kepimpinan membimbing murid dalam bidang kokurikulum, sukan termasuk akhlak dan disiplin murid.

"Kita harap pencapaian guru juga dinilai melalui pembabitan guru dengan masyarakat setempat, kita tidak mahu guru mengasingkan diri dengan masyarakat atau berada dalam dunia mereka sahaja.

"Sekiranya guru sanggup turun padang berjumpa dengan ibu bapa atau penjaga murid jika ada masalah, kita mahu semangat seperti itu akan wujud dalam diri guru,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kaedah baru kenaikan pangkat yang diumumkan itu adalah mengikut kategori empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, hal-hal berkaitan integriti di kalangan guru perlu dititik beratkan dengan memberikan satu pengiktirafan jika tidak pernah terlibat dengan kegiatan rasuah.

Sehubungan itu, katanya, kenaikan pangkat dan tangga gaji yang dicadangkan harus ditawarkan kepada mereka yang mempunyai semangat dan minat mendalam dalam profesion perguruan.

''Para guru harus bersikap profesional untuk meningkatkan standard mereka, sentiasa proaktif dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara,'' katanya.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mengambil kira keperluan 2,000 guru besar di sekolah kurang murid yang tidak mengalami kenaikan pangkat.

''Mereka memegang jawatan selama 15 tahun dan tidak ada kenaikan pangkat apa-apa, sekurang- kurangnya dinaikkan ke DGA34 daripada DGA32 sekarang ini, iaitu hanya mengalami kenaikan gaji sebanyak RM90,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2011

2 ulasan:

kamanuk sokid berkata...

Nak naik apa lagi semua guru sekolah rendah dan menengah bukan siswazah telah menikmati ganjaran kerajaan yang dapat mereka nikmati sehingga pencen iaitu kenaikan tanggagaji 25% + elaun pedalaman, dan elaun hidup susah.Keduanya, guru-guru besar siswazah hanya perlu 3 tahun sahaja untuk naik ke DG44. Pemberian dari kerajaan ini tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh guru-guru sekolah menengah kerana kebanyakan sekolah menengah berada dikawasan pekan

Tanpa Nama berkata...

tARAK APA - APA