Selasa, 17 Mei 2011

Naik hingga DG54

Oleh Mohd Roji Kawi, M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Azma Laila
bhnews@bharian.com.my
2011/05/17

pix_gal0
Najib umum kaedah baru kenaikan pangkat guru PDP

KUCHING: Mulai Januari tahun depan, lebih 300,000 guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) berpeluang menikmati kenaikan pangkat hingga ke gred DG54 berbanding setakat gred DG48 sekarang, walaupun menabur bakti selama 25 tahun dalam perkhidmatan.

Jika berjaya menunjukkan kecemerlangan dengan menampilkan perkhidmatan lebih bermutu seperti ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka juga berpeluang mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Kaedah baru kenaikan pangkat khusus untuk guru PDP itu adalah hadiah kerajaan sempena Hari Guru tahun ini bagi mengiktiraf pengorbanan dan menyedari beban tugas mereka memenuhi tuntutan potensi modal insan negara.

Ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan beliau dalam rakaman video yang ditayangkan ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, di sini semalam dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Melalui kaedah baru berkenaan, guru diklasifikasi dalam empat kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Guru Pendeta dengan mereka yang mencapai dua kategori tertinggi berpeluang mencapai sehingga gred DG54 dalam tempoh 25 tahun perkhidmatan, berdasarkan kecemerlangan.

“Mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka, boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, masih berpeluang menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah jawatan Gred Khas C bagi laluan PDP sebanyak 100 peratus kepada 72 jawatan, berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah gred DG48 ke DG52, membabitkan 1,228 jawatan, manakala semua Guru Penolong Kanan (GPK) Sekolah Menengah dinaikkan dari DG44 ke DG48 membabitkan 6,585 jawatan. Bagi GPK sekolah rendah kluster pula, mereka dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34.

Najib berkata, insentif itu adalah kesinambungan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan yang mengambil kira keunikan tugas guru dan keperluan memberikan kenaikan pangkat melalui kaedah berasaskan masa (time-based).

Katanya, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka pada gred DG48 selepas berkhidmat selama 25 tahun dan sudah tiba masanya laluan kerjaya guru ditambah baik.

“Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik darjah dan padang permainan dengan sebuah negara yang mahu serta bertamadun hebat tidak mungkin terbina tanpa insan bergelar guru.

“Hari ini di setiap ceruk rantau negara, guru tanpa mengenal erti penat lelah sentiasa membawa cahaya harapan kepada anak Malaysia. Merekalah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan bagi membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai beberapa tuntutan yang belum diselesaikan berkata, isu seperti guru siswazah yang belum mendapat kenaikan gred akan diselesaikan secepat mungkin.

“Perjawatan guru amat luas dan kita memandang serius setiap tuntutan yang dikemukakan serta perlu diteliti sebelum diselesaikan seperti isu guru siswazah yang berada di gred diploma.

“Begitu juga dalam mengukur pencapaian guru. Dulu kita sukar untuk menilai, tetapi menerusi sistem dan insentif baru, lebih banyak ganjaran disediakan dan ia berjaya melonjakkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya.

Mengenai dakwaan insentif baru yang diumumkan Perdana Menteri sebagai meniru Buku Jingga pembangkang, beliau menegaskan, kerajaan melakukan pelbagai usaha menambah baik perkhidmatan pendidikan tanpa perlu menunggu pilihan raya.

“Insentif yang Perdana Menteri umumkan ini lebih baik daripada janji RM500 pembangkang yang hanya manis di bibir saja. Kita buat semua ini bukan disebabkan mahu menghadapi pilihan raya umum, sebaliknya ia dilakukan sepanjang masa,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Mei 2011

16 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasanya RM 500 tu lebih disukai guru sebab semua guru dpt menikmatinya. Berbanding yg diumukan smlm, tak sampai 5% guru yg dpt.

Lu org sendiri fikirlah....

Tanpa Nama berkata...

bagaimana dengan nasib guru-guru biasa ( PDP )yang dah lama mengajar ( 25 tahun lebih ) tapi sudah sampai gaji syiling bertahun-tahun tanpa tak ada kenaikan gaji. Ada ikut Akta Buruh ke? Kenalah adil kepada guru biasa yang dah senior, janganlah dianaktirikan. Asyik2 dok jaga kumpulan pentadbir saja. Yang banyak tertekan dalam kelas ialah guru PDP. Fikirlah baik2...

Tanpa Nama berkata...

Jangan lupa bahawa guru2 biasa (PDP) yang masuk ke kelas mengajar anak didik itulah yang akan mewarnai pemikiran generasi akan datang. Guru yang tidak berpuas hati kerana tidak dihargai dan dianaktirikan oleh KPM akan tertekan perasaannya, akan 'terencat'mindanya, akan terjejas prestasinya,....maka bagaimanakah mungkin mereka akan menghasilkan anak didik yang terasuh mindanya dengan nilai yang positif iaitu nilai 'keadilan'? Tepuklah dada, tanya selera!!!

Tanpa Nama berkata...

Ada guru junior satu sekolah dengan senior, cikgu muda dah dg48 atas laluan guru cemerlang. Kerja tak seberapa berbanding dengan GPK yang setiap hari memerah kepala dan tenaga masih belum dapat-dapat dg 48 walaupun dah masuk 20 tahun jadi guru sekolah menengah. Kawan-kawan senior masuk maktab terus dapat dg48, GPK kat sekolah memendam rasa. apa polsi ini?

Tanpa Nama berkata...

Apa beza jadual kenaikan pangkat baru diumumkan dengan yang lama? Dari 15 laluan kerjaya;guru cemerlang, pegawai cemerlang, time based, fast track IAB, Matrik, IPG,Bidang Umum dan lain-lain jadi 5 laluan pulak? Siapalah yang menyediakan kertas pengumuman PM. Tentu orang M atau DG yang buta perjawatan.Harap guru-guru tidak "over-exited".Tunggulah surat pekeliling untuk menafsirkan, kalau tiada faham-fahamlah.Nak naik mesti masuk zon. Yang menentukan zon ialah BSM. Realitinya jarang-jarang istilah naik pangkat untuk DG.Nak duduk jawatan 48 mesti dah dapat surat kelulusan naik pangkat dari Lembaga Naik Pangkat, JPA.Kalau duduk awal,nak sah tunggulah masuk zon, akhirnya serupa time based juga. Time based, naik pangkat ke kerana dah mati gaji. Sebelum ini untuk time based 48, 23 tahun berkhidmat tetapi sekarang 24 tahun.so, jangan "over-exited", sebagai pendidik dan manusia terdidik dan tebal harga diri, cukuplah sekali masuk lubang!

cikgu berkata...

pasai apa x letak DG41 situ, nampak pelik sgt ke nanti? sistem gaji guru perlu rombakan besar-besaran

Tanpa Nama berkata...

rasanya kenaikan walaupun tak sebaik PTD pun ok... Dg41 ke DG 44 = 4 tahun bekerja... DG44 ke DG 48 = 6 tahun bekerja... biarlah kepuasan dan keceriaan dirasakan bersama.. sudah 2 tahun pengumuman amat mengecewakan..

Tanpa Nama berkata...

harap-harap TPM juga dapat jeling-jeling kebajikan pegawai-pegawai PPD, JPN, KPM.. makan hati aje...

Cikgu Cemerlang berkata...

senang cerita...guru-guru semua sokong Pakatan Rakyat dan beri peluang Pakatan Rakyat laksanakan Buku Jingga yang jelas memberi banyak manfaat kepada guru dan rakyat

guru pedalaman berkata...

tidak semua guru menikmatinya, dlm sek menengah hanya 4 org,pengatua dan 3 org PK, yg lain telan liur saja. guru sek ren dipinggirkan. perubahan ini tdk menyeluruh kpd semua warga pendidik....

Tanpa Nama berkata...

Pasal ramai yg tidak dpt menikmatinya, itulah yg mahu dibuat. Berita harian kata 300.000 guru berpeluang...... mungkin dia kira hingga tahun 2099 kot?

Cukuplah kita ditipu sekali lagi..

Tanpa Nama berkata...

JADUAL YG BERITA HARIAN KELUARAKN DLM AKHBAR HARI BANYAK KESILAPAN.

Tanpa Nama berkata...

x faham kenape xde DG41.. sy br abis blaja n tgh tunggu borg posting.. at the same time, sy apply master gak.. sy nk tau starting utk DG41.. mane lebih baik? jd guru sekolah atau pensyarah ipta dgn starting DM45? skim die lain2kan?

Tanpa Nama berkata...

Tak tahulah kat mana B.HAIRAN ni dpt sumber jadual gaji. TAK BETUL & BANYAK SALAH.

USTAD ADNAN NS berkata...

Kira bagus la GPK dinaikkan gred48, tapi pihak kementerian tahu ke situasi pengisian jawatan di sekolah? Semua yang dinaikkan pangkat jadi gpk adalah kroni, kawan-kawan malah saudara mara.Inilah aakibatnya kalaau kuasa kenaikan pangkat diberi kepada PPD dan JPN. Ramai GPK di sekolah-sekolah masih junior dalam perkhidmatan. Sedangkan masih ramai guru-guru veteran masih guru biasa. Jadi sakit hati bila guru-guru masih junior naik gred sedangkan masih ramai guru-guru senior masih ditakuk lama. Napela bodoh sangat KPM ni, kalau macamam ni lebih baik Pegawai Takbir Dan Dioplomatik dimasukkan ke pentadbiran KPM, JPN dengan PPD. Rasa mereka lebih pandai mentadbir. Saya sokong sangat PTD berada dibidang pendidikan bagi mengawal pegawai-pegawai bodoh di KPM, JPN dan PPD.

Tanpa Nama berkata...

Lps jawatan...minta le GC...GC dinilai....ada bran ke nak isi borang GC segala tu...