Sabtu, 7 Mei 2011

Tugas pentadbiran jejas fokus guru

2011/05/07

HASIL kajian daripada jawatankuasa mengkaji beban tugas guru telah ditanya banyak pihak. Sudah siapkah laporannya dan bila mahu diumumkan?

Kementerian Pelajaran wajar memberi penjelasan supaya kedudukan yang sebenarnya difahami dan diharap rumusan kajian dapat diterima guru dengan hati terbuka dan penuh rasa tanggungjawab.

Jadi tidaklah guru ternanti-nanti. Ini disebabkan penubuhan jawatankuasa itu sudah diumumkan sejak setahun lalu.
Ada pihak menganggap beban tugas ini seolah-olah memberi gambaran sikap guru yang kurang dedikasi menyebabkan tugas mereka dilihat begitu membebankan. Sebenarnya, kita perlu melihat perkara ini secara positif. Tidak wajar mengaitkan guru yang mempersoalkan beban tugas sebagai kurang komitmen. Malah, atas rasa tanggungjawab perkara ini dikemukakan agar tugas tambahan tidak terlalu banyak sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan tugas hakiki.

Kebanyakan guru mendakwa mereka tetap mengutamakan tugas asalkan dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah. Jika ini tugas guru, mereka rela berkhidmat dengan lapang dada dan tidaklah dianggap sebagai beban.

Kita boleh berkata guru perlu dedikasi, serba boleh dan bijak mengurus masa agar dalam menjalankan tugas tambahan, tugas P&P tidak terabai. Adakah kita yakin seorang guru yang sibuk dan kepenatan menjalankan tugas pentadbiran, maka tugas P&P tidak terjejas?

Tugas hakiki bermaksud kemahiran mengurus kelas secara profesional agar proses P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan. Tugas ini hendaklah dipastikan tidak terganggu dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan kerana inilah faktor utama menentukan kualiti sesebuah sekolah.
Jika guru terlalu sibuk dengan tugas pentadbiran, dikhuatiri fokus dan minat terhadap P&P semakin merosot. Kita tidak mahu ada guru yang tidak sempat membuat persediaan, menyediakan alat bantu mengajar, memeriksa buku latihan dan terlambat masuk kelas kerana terlalu sibuk dengan kerja pentadbiran. Yang pasti guru tidak dapat masuk kelas kerana bertugas di luar sekolah.

Ada masanya pihak pentadbir meminta guru menyiapkan laporan segera kerana ini arahan pihak atasan walaupun ketika itu guru ada tugas P&P. Pandai-pandailah guru bertindak menghadapi tugas yang semakin banyak asalkan semuanya beres. Mungkinkah dengan keadaan begini kita dapat mencapai pendidikan berkualiti?

Persoalannya sejauh mana seseorang guru itu mampu melaksanakan semua tugas dengan berkesan? Elok dibuat kajian untuk melihat hubungan antara tahap keupayaan guru dan keberkesanan hasil kerja. Kajian juga perlu menjurus ke arah mewujudkan garis panduan untuk pentadbir dalam pengagihan tugas tambahan kepada guru supaya tidak melampaui had maksimum yang boleh menjejaskan tugas hakiki.

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor

Berita Harian Online: 7 Mei 2011

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Isutugas guru tak boleh dinafikan. Mereka di KPM tak faham apa yg berlaku di sekolah. Mereka ke KPM pun sbb tak thn dgn beban tugas guru.

Tanpa Nama berkata...

Saya hairan, warga guru telah mempunyai saluran rasmi untuk menyampaikan hasrat dan pandangan yang melibatkan bidang kerjaya, perkhidmatan dan kebajikan guru melalui pemimpin-pemimpin Kesatuan di dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan Majlis Bersama Kebangsaan (MBK).

Perangsang kepada pemimpin Kesatuan : kita perlu bercakap banyak kali dan selalu mengulang apa yang telah kita ucapkan (seperti kita mengajar pelajar) bagi menyampaikan hasrat yang tersurat dan tersirat.
Perjumpaan juga bukan hanya sekali tetapi banyak kali dengan pihak Stakeholders.

Golongan ibubapa amat mengharapkan semua warga guru akan dapat menyempurnakan tugas hakiki P&P dengan aman dan makmur bagi mendidik anak bangsa Malaysia.
- bapa prihatin, jelawat, bachok

Tanpa Nama berkata...

Masalahnya dah banyak kali isu ini dibangkitkan, tetapi yg KPM spt tak berminat mengatasi masalah ini.

Kami guru, tak kisah dgn pelbagai tugas perkeranian, tetapi apa pula nasib anak murid kami. Guru tak dpt masuk kelas, tak sempat nak periksa buku, tak sempat nak buat persediaan utk pengajaran,. kalau masuk kelas pun, murid disuruh buat kerja sendiri, Sebabnya cikgu kena siapkan tugas perkenranian yg diarahkan segera.

JPN, PPD pula asyik berlumba-lumba mengejar ranking. Nak pencapaian tinggi dan ramai dpt 5A/7A. Bila tak dpt, guru-guru dipersalahkan.

Guru2 yg selalu buat komplain dlm paper ni, sebenarnya GURU yg PRIHATIN dgn masa depan anak muridnya.
CUMA KPM saja yg tak prihatin. Banyak tidur, tetapi tak tahu apa berlaku kat kat sekolah.

pening juga berkata...

Untuk bapa prihatin - Jelawat, masalah ini telah banyak kali diajukan. Kajian kajian kajian. Itulah alasan yang diperkatakan. Akhirnya, keputusannya senyap begitu sahaja. Apabila dibincangkan kembali isu ini, mulalah balik semula kajian, kajian dan kajian beban tugas guru dijalankan. Akhirnya, kurang kerja tidak sebaliknya guru pula perlu kira BMI murid sebab ramai murid yang berat berlebihan pada masa sekarang...Emmmm, entahlah. Betul kata kawan - kawan sejawat, hanya guru yang memahaminya. Pegawai hanya pandai mengarah dan mengarah sahaja...

Tanpa Nama berkata...

PEKHIDMATAN PENDIDIKAN memerlukan 1Tranformasi besar-besran. Dah banyak yg ketinggalan zaman. KPK masih belum sedar lagi. Kita guru perlu buat perubahan...