Jumaat, 6 Mei 2011

YGMB sasar tambahan 100,000 ahli baharu

ARKIB : 02/05/2011

Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berhasrat menambah 100,000 lagi keahliannya di kalangan guru-guru di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, jumlah keahlian terkini adalah seramai 129,000 namun kebanyakan daripada ahli-ahli ini sudah bersara dan YGMB memerlukan guru-guru baharu untuk turut sama menjadi ahli.

"Pelbagai usaha telah dijalankan bagi mencapai hasrat itu seperti sesi turun padang ke sekolah-sekolah di dalam dan luar Lembah Klang bagi menyebarkan maklumat serta faedah menjadi ahli YGMB," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Alimuddin memberitahu, pelbagai langkah penambahbaikan telah diambil dalam usaha memperkenalkan produk-produk baru untuk kebajikan guru di samping menyusun semula struktur organisasi YGMB.

"YGMB telah berjaya memberi derma kebajikan kepada ahli-ahli dan waris-waris ahli meliputi derma khairat kematian, derma insentif pelajaran, derma bantuan rawatan, derma bencana alam dan lain-lain," jelasnya.

Manakala Koperasi YGMB pulatelah ditubuh dan didaftarkan pada 8 Julai 2010 dengan keanggotaan Lembaga Koperasi itu terdiri daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB.

Keanggotaan Koperasi YGMB adalah terbuka kepada semua Pegawai Perkhidmatan Pelajaran dan kakitangan KPM yang menjadi ahli YGMB dengan yuran bulanan sebanyak RM35.

Setiap anggotanya berpeluang mendapat pelbagai faedah seperti dermasiswa dan derma kebajikan meliputi kemalangan, bencana alam, kematian serta pinjaman peribadi.

"Ini adalah satu sumbangan yang besar bagi YGMB selaras dengan visinya iaitu organisasi penyayang dan berwibawa daripada guru untuk guru demi martabat profesion keguruan," jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan YGMB, Alimuddin berkata, pihaknya akan mengadakan usahasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menyediakan tempat dan peluang bagi guru-guru melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

"YGMB bercadang menyediakan tempat pengajian di luar kampus utama di seluruh negara dan kemudahan pembiayaan pembelajaran melalui pinjaman koperasi," katanya.

Selain itu, YGMB juga akan mengadakan usaha sama dengan bank bagi membantu guru-guru baharu keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang biasanya lewat menerima gaji pertama mereka.

"YGMB juga berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan menguruskan pinjaman kenderaan yang boleh dibayar pada bulan ketiga atau keempat bagi memudahkan guru-guru yang ditempatkan di lokasi-lokasi jauh supaya mempunyai kenderaan lebih awal," ujar beliau.

Usaha sama itu dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengurangkan beban guru-guru baharu keluaran IPGM.

Dalam perkembangan lain, YGMB menerima kunjungan seramai 40 guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kulim yang diketuai oleh guru besarnya, Mohd Zailan Ariffin sempena lawatan sambil belajar sekolah itu ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam taklimatnya, Alimuddin menggalakkan guru sekolah itu supaya menjadi ahli YGMB.

Usaha itu tidak sia-sia apabila Mohd Zailan berjanji untuk memastikan semua guru dan staf SK Seri Kulim seramai 60 orang menjadi ahli YGMB.

YGMB dan Koperasi YGMB boleh dihubungi melalui talian 03-41058679 atau laman rasmi www. ygmb.com.my.

Utusan Malaysia Online: 6 Mei 2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TERIMA KASIH YGMB. Permohonan saya utk mendapatkan "SUMBANGAN INSENTIF PELAJARAN" sebanyak RM 300 telah ditunaikan. Dlm masa 2 bulan shj dah dpt.

Malangnya, masih ramai guru yg tidak tahu hal ini. Wajarlah YGMB ini dipromosikan besar-besar dlm kalnagn warga pendidik. Ada yg dah masuk dahlu tetapi tak tahu status mereka hingga skrg.

Tanpa Nama berkata...

saya ahli seumur hidup YGMB tapi tak dapat apa pun berita perkembangan terkini. nak tahu faedah menjadi ahli nak tengok line internet terputus habis macam mana? kad ahli pun dah hancur nak hubungpun tak tahu macam mana..