Isnin, 12 September 2011

Laporan diserah hujung tahun ini

LONDON 11 Sept. – Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk menyerahkan laporan dapatan mereka supaya proses pengolahan dan komen daripada pemegang saham dan masyarakat dapat dipercepatkan.

Hal ini penting kerana subjek itu akan menjadi wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beberapa lapis proses juga terpaksa dilakukan seperti mengolah, memperjelas dan mendapatkan cadangan dan komen masyarakat.

Tegas Muhyiddin, sebelum isu kenyataan Pas yang memutarbelitkan sejarah Bukit Kepong lagi, memang beliau telah mengarahkan buku teks Sejarah dirombak, dan telah mengarahkan jawatankuasa itu ditubuhkan segera ketika itu.

Katanya, jawatankuasa berkenaan terdiri daripada beberapa pakar sejarah pelbagai kaum yang dilantik, akan memastikan kesaksamaan dalam komposisi pensejarahan kaum di negara ini.

Bagi Menteri Pelajaran itu, adalah penting tiada satu kaum pun yang merasakan buku sejarah baru itu berat sebelah kepada kaum tertentu sahaja.

‘‘Apa yang lebih penting lagi, ia adalah bebas daripada putar belit politik. Fakta tetap fakta dan sejarah tidak boleh diubah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kementerian Pelajaran sebelum ini mengumumkan mulai 2013, mata pelajaran Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus sebagai syarat untuk layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mata pelajaran Bahasa Melayu.

Subjek Sejarah akan mula diperkenalkan dalam SPM Ulangan mulai tahun 2014.

Format pentaksiran mata pelajaran Sejarah akan menggunakan sukatan pelajaran sedia ada bermula dari tahun 2013 sehingga 2017.

Bermula SPM 2018, ia akan menggunakan sukatan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Muhyiddin menambah kata, bagi tujuan ketelusan, pihaknya akan membuka kepada masyarakat untuk mengemukakan idea tentang mata pelajaran Sejarah di sekolah.

‘‘Saya dapati langkah yang kita ambil ini bertepatan dengan perkembangan terkini, iaitu perdebatan tentang sejarah itu berlaku dengan hangat,” katanya.

Mengulas tentang lawatan kerjanya di sini, Muhyiddin menganggap ia berjaya dan beliau mendapat maklum balas daripada peserta warga Malaysia di sini mereka telah mendapat mereka mendapat maklumat yang penting daripada sesi forum dan dialog yang diadakan.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan akan menjadikan program Forum Merdeka dan dialog bersama pemimpin menjadi acara tahunan di London.

Jika ada permintaan oleh mana-mana kedutaan yang mempunyai ramai rakyat Malaysia, maka ia boleh dikembangkan di mana-mana kedutaan, kata Muhyiddin.

Majlis Karnival Merdeka 2011 di London anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom mempunyai kelainan apabila ia disisipkan dengan majlis dialog pemimpin dan Forum Merdeka.

Dialog kali ini bertema 54 Tahun Merdeka: Menghargai Waktu Silam, Mentransformasikan Masa Depan.

Pada sesi Forum Merdeka, dua ikon sosial, iaitu Profesor Ulung Negara, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin mengupas tema 54 Tahun Kemerdekaan: Membangunkan Negara, Berkongsi Matlamat.

Forum itu merupakan yang julung-julung kali diadakan sempena sambutan kemerdekaan .

Muhyiddin menambah, perkara yang penting ialah maklumat yang disampaikan adalah tepat.

Katanya, banyak perkara penting yang dibangkitkan oleh warga Malaysia yang hadir, mencakupi isu pentadbiran Kerajaan Pusat sehingga kepada isu mata pelajaran Bahasa Inggeris.

‘‘Semua saranan ini akan diambil kira,” katanya. - Utusan


Utusan Malaysia Online: 12 September 2011

Tiada ulasan: