Selasa, 20 September 2011

3 murid dikurung ketika UPSR

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2011/09/20

Dilarang ambil peperiksaan kerana bimbang jejas prestasi sekolah

KUCHING: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.
Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah, sementara rakan sekelas lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu.
Mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.

Difahamkan ketiga-tiga murid terbabit dikunci di dalam bilik pemulihan mulai jam 8 pagi hingga tengah hari pada kedua-dua hari berkenaan. Pasukan polis yang tiba di sekolah itu pada 15 September menemui murid terbabit dikurung dalam bilik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Bintangor, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Hafifi Mohd Salim, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu bapa murid terbabit.

“Kita mendapati ketiga-tiga murid itu dikunci dalam bilik untuk mengelak mereka daripada menduduki peperiksaan kerana pihak sekolah mendakwa murid terbabit lemah dalam pelajaran dan boleh menjejas pencapaian sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kes itu sudah ditutup kerana ibu bapa murid terbabit bersetuju menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Pihak Jabatan Pelajaran juga sudah dimaklumkan. Kami dimaklumkan tindakan akan diambil terhadap guru besar sekolah terbabit,” katanya.

Mengulas perkembangan sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, kesal dengan tindakan pengurusan sekolah terbabit.

“Saya belum menerima laporan secara rasmi. Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat. Bagaimanapun, kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana semua murid Tahun Enam berhak menduduki UPSR, tak kira sama ada mereka bijak atau lemah,” katanya.

Guru besar sekolah itu dan Jabatan Pelajaran Sarawak bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk komen.

Berita Harian Online: 20 September 2011

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

itulah terjadi bila peperiksaan menjadi ukuran penting kejayaan sekolah...

Tanpa Nama berkata...

Saya salahkan PPD/PPG dan JPN Negeri. Di Selangor pun sama. Pegawai memberikan tekanan keterlaluan kpd GB. Merka mahu semua sek mendpt keputusan paling hebat dan mahukan ramai murid mendpaat 5A/7A.
Semasa mesy, pegawai akan memaparkan ranking sekolah. yang berada diranking bawah akan menjadi sasaran & disindir/dimalukan dlm mesy.
Semua sekolah mahukan keputusan terbaik, tetapi kita kenalah faham bhw yg menjawab soalan itu ialah murid-murid. Guru telah melaksanakan tugasnya mengajar & memberikan ilmu.
JADI DLM KES INI, PPD & JPN perlu disalahkan dan bukannya GB sekolah berkenaa.

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Apakah hak Guru Besar untuk menghalang murid pelajar tahun 6 ini dpd mengambil ujian UPSR?

Adakah ianya direstui oleh guru-guru lain di sekolah ini?

Suara guru dan ibubapa adalah penting ... di mana peranan PIBG?

Usah jadikan pencapaian akademik yang CEMERLANG sebagai ukuran utama pencapaian pelajar dan sekolah.

Oleh kerna kes dah jadik kes polis, maka kita tunggu keputusannya ..

guru lama berkata...

KPM salah, JPN salah, PPD salah dan sekolah lagi BODOH DAN SALAH kerana terlalu mengikut kehendak pihak-pihak di atas yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan sebagai ukuran penilaian prestasi sekolah berkenaan.

GB terlalu takut dan bodoh kerana berfikiran pendek dan nafsu menguasai diri hingga sanggup menehan pelajar lemah...

" MARAHKAN NYAMUK KELAMBU DIBAKAR"
" PUKUL ANAK SINDIR MENTUA"

Tanpa Nama berkata...

Guru lama,

Guru besar tu tak bodoh....mungkin sebenarnya terlalu tertekan dgn tindakan JPN dan PPD/B yg berlumba-lumba nak naikkan nama negeri & daerah mereka.
Akibatnya, guru besar sering dijadikan mangsa penghinaan dlm mesyuarat. Pegawai di JPN/PPD pula tak faham situasi di sekolah. mereka ingat....cikgu2 goyang kaki & makan gaji buta.

SATU LAGI....mungkin juga cikgu tu nak kejar GANJARAN yg ditawarkan oleh KPM. Sebab tu mereka berlumba nak mengejarnya.....
tak tahulah.....apa pun saya berpendapat, UPSR ini dah dijadikan spt SPM pulak, malah lebih drp itu.

Tanpa Nama berkata...

Bangau oooh bangau .. bangau ooooh bangau ..kenapa ngko ????? sebab PPD/B nak makan aku ! sebab pelajar ini makanan aku !