Oleh Azran Jaffar
2011/09/28
MEMASUKI tahun kedua pelaksanaannya, Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran (KPM) bagi meningkatkan kadar kemahiran membaca dan mengira di kalangan murid tahap satu di sekolah rendah, menampakkan impak yang memberangsangkan.Berdasarkan dua saringan yang dijalankan iaitu pada Mac dan Jun lalu, murid Tahun 2 melepasi sasaran 95 peratus yang ditetapkan dengan kadar literasi mencatatkan 95 peratus, manakala numerasi berada pada kadar 97 peratus.
Literasi adalah kebolehan membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah (dengan menggunakan kata hubung dan) serta mengaplikasikan pengetahuan berkenaan dalam pembelajaran serta komunikasi harian.
Numerasi pula adalah apa yang dikatakan sebagai kebolehan melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan harian.
Melalui program ini, setiap murid menjalani proses saringan tiga kali setahun bagi mengenal pasti mereka yang menghadapi masalah membaca, menulis dan asas pengiraan yang kemudian diletakkan di dalam kelas pemulihan khas untuk meningkatkan prestasi mereka sementara yang mempunyai masalah pembelajaran akan mengikuti program Pendidikan Khas.
Untuk itu, kerajaan melatih 15,500 guru LINUS untuk mengajar di kelas pemulihan khas, manakala FasiLINUS (fasilitator yang memberikan sokongan profesional) ditugaskan di semua sekolah untuk memantau, membantu dan memberi sokongan kepada guru LINUS.
Objektif utama pengenalan program LINUS adalah untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah dalam menguasai kemahiran berkenaan pada peringkat awal dan memulihkan mereka sebelum tertinggal lebih jauh berbanding rakan sebaya.
Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) LINUS berhasrat memastikan semua murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi apabila memasuki Tahun 3. Untuk tahun 2010 sasaran KPM adalah pencapaian sebanyak 90 peratus untuk murid Tahun 1 (kohort 1), 95 peratus pada tahun 2011 dan 100 peratus untuk murid-murid kohort 1 ini yang akan memasuki Tahun 3 pada 2012.
Bagi murid kohort 1 ini yang membabitkan kira-kira 450,000 di seluruh negara, mereka menghadapi saringan tiga kali dan pada September 2010, sebanyak 380,440 atau 85 peratus lulus saringan asas literasi manakala 407,094 murid atau 91 peratus lulus saringan asas numerasi.
Proses saringan membabitkan dua bahagian iaitu lisan yang dijalankan secara individu antara guru dan murid manakala ujian bertulis dijalankan secara serentak. Saringan literasi dan numerasi juga dijalankan secara berasingan membabitkan guru Bahasa Malaysia dan Matematik.
Pada tahun 2010, saringan dijalankan untuk semua murid kohort 1 dan tahun ini ia diadakan untuk murid Tahun 1 (kohort 2) dan Tahun 2 (kohort 1).
Berita Harian Online: 28 September 2011
1 ulasan:
Data-data yang hipokrit semata-mata. Daerah aku di XXXXXXX, Sarawak ini,PPD memaksa guru linus meluluskan budak tu masuk ke arus perdana. Semata-mata hendak mencapai prestasi PPD. BAIK TAK PAYAH BUAT LINUS MACAMTU!
Catat Ulasan