Rabu, 7 September 2011

Lima calon UPSR tinggal bersama guru

Oleh Poliana Ronnie Sidom
poliana@bharian.com.my
2011/09/07

DARI kiri Janita, Esther, Jessica dan  Gibrain tinggal bersama Mon Na sebagai persediaan menduduki UPSR minggu depan di SK Tampak, Penampang.
DARI kiri Janita, Esther, Jessica dan Gibrain tinggal bersama Mon Na sebagai persediaan menduduki UPSR minggu depan di SK Tampak, Penampang.
Cikgu SK Buayan mudahkan murid di pedalaman ke pusat peperiksaan

PENAMPANG: Guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi hidup muridnya. Hanya kerana mahu melihat muridnya berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), seorang guru membawa lima murid Tahun Enam tinggal bersamanya untuk membimbing mereka sejak dua minggu lalu.
Bagi murid itu yang tinggal di beberapa kampung jauh di pedalaman dekat Banjaran Crocker, rumah Liew Mon Na, 35, kini menjadi tempat menimba ilmu.
Mon Na yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan sejak dua tahun lalu, membawa mereka tinggal bersamanya di rumah guru sekolah itu dan sejak seminggu lalu mereka tinggal di rumahnya di Kampung Tulung dekat sini.

Walaupun jaraknya kira-kira 20 kilometer dari pekan Donggongon di sini, perjalanan ke SK Buayan mengambil masa lebih lima jam, berikutan separuh perjalanan terpaksa berjalan kaki kerana belum ada jalan raya menghubungkan kampung dengan dunia luar.

Sekolah itu yang dikategorikan antara 500 Sekolah Kurang Murid (SKM) di Sabah kerana mempunyai 43 murid dihubungkan dengan denai yang dikenali sebagai Laluan Garam menyusuri hutan di Banjaran Crocker.

Murid yang tinggal di beberapa kampung terpaksa berjalan kaki antara dua hingga enam jam untuk ke sekolah setiap hari.
Menyedari kesukaran Jessica Elvira Zinus, Esther Gilong, Janita Jolius, Gibrian Sipanis dan Ronald Tugou, selain mereka terpaksa ke SK Tampasak untuk menduduki UPSR, membuatkan Mon Na membawa mereka tinggal bersamanya. Walaupun SK Tampasak juga di pedalaman, ia dapat dilalui kenderaan.

Mon Na berkata, beliau mengambil keputusan membawa murid terbabit tinggal di rumahnya di Kampung Tulung supaya mudah membimbing mereka, selain jaraknya lebih dekat ke SK Tampasak bagi menduduki UPSR.

“Dari SK Buayan mereka sukar ke SK Tampasak untuk menghadiri peperiksaan kerana jauh dan terpaksa berjalan kaki, manakala dari rumah di Kampung Tulung, saya boleh menghantar mereka dengan kereta,” katanya baru-baru ini.

Beliau yang sebelum ini 12 tahun mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Min dan SK Kibabaig dekat sini, berkata kelima-lima murid itu daripada keluarga miskin dengan ibu bapa mereka hanya bekerja sebagai petani.

Perasaan simpati dengan keadaan anak muridnya mendorong Mon Na membantu mereka dengan perbelanjaan sendiri semata-mata untuk melihat mereka berjaya dalam pelajaran agar dapat mengubah nasib keluarga masing-masing suatu hari nanti.

“Tiada yang lebih menggembirakan selain kejayaan anak murid saya. Walaupun sekadar lulus dalam UPSR, saya akan berpuas hati.

“Saya simpati kerana ramai murid dari kawasan terpencil di Banjaran Crocker tercicir dalam pelajaran akibat ketidakmampuan keluarga menyara persekolahan selain takut bergaul dengan orang luar,” katanya.

Sementara itu, Esther yang berasal dari Kampung Tiku, berkata mereka bersyukur dibawa tinggal bersama guru kerana dapat belajar dengan lebih selesa dan mudah bertanya jika ada masalah pelajaran.

“Jika di kampung, sukar menumpukan perhatian kerana terpaksa menggunakan pelita untuk mengulangkaji pelajaran, selain terpaksa membantu ibu bapa,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Gibrian, yang hanya memperoleh keputusan 2B dan 3C pada peperiksaan percubaan pula bercita-cita menjadi juruterbang dengan harapan dapat membawa ibu bapa dan adik beradiknya melancong kerana selama ini mereka tidak pernah keluar jauh dari kampung.

Berita Harian Online: 7 September 2011

4 ulasan:

clothingshoes berkata...

memamng bagus guru yang sanggup berkorban untuk anak bangsa

diana berkata...

saya sokong
garden guide
electronic stores
health guide
clothing shoes
celebrity gossip
sportnews

Pak Dar berkata...

Good, setuju.

Tanpa Nama berkata...

Biasa je... tak da yg luar biasa...