Isnin, 12 September 2011

Jambori pengakap erat hubungan Malaysia, Indonesia


Wakil pengakap dari Malaysia bersama pengakap dari Jambi di Jambori Pengakap Nasional Indonesia, Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia baru-baru ini.


SERAMAI 22 guru penolong kanan kokurikulum daerah Batu Pahat bersama tiga pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Johor menyertai Jambori Pengakap Nasional Indonesia (JAMNAS) di Teluk Gelam, Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan, Mustaffa Siraj memberitahu, penyertaan ini adalah dalam rangka lawatan sambil belajar untuk meninjau perjalanan jambori sekali gus mengeratkan hubungan antara dua negara berjiran.

"Aspek persediaan tempat, pengurusan makanan, keselamatan dan juga lawatan berjaya diurus dengan baik termasuk kawalan ketat oleh Angkatan Bersenjata Indonesia (ABRI) di kawasan perkhemahan seluas 65 hektar itu," pujinya.

Jambori selama enam hari itu dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan disertai 25,000 pengakap dari seluruh Indonesia dan wakil-wakil dari Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurut Mustaffa, keupayaan Pengakap Indonesia menganjurkan jambori yang sungguh besar itu menarik perhatian Pengakap Malaysia dan layanan yang diberikan kepada peserta negara kita juga amat memuaskan.

"Malah Pengakap Malaysia turut berpeluang melawat ke pelbagai tempat menarik di Palembang seperti Pulau Mekaro, Bukit Siguntang dan jambatan Ampera," katanya.

Sepanjang jambori, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah dan diskusi topik alam sekitar, kitar semula, pemanasan global dan masalah serantau serta antarabangsa.

Selain itu, peserta jambori turut melakukan aktiviti membuat gajet, persembahan kebudayaan dan mendirikan khemah yang dihias indah dengan unsur-unsur budaya 23 wilayah di Indonesia.

Manakala penyediaan tapak pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta pula memberi input serta pengetahuan berguna kepada peserta jambori khususnya delegasi negara kita.

Jambori Malaysia akan diadakan pada November ini di Terengganu.

Utusan Malaysia Online: 12 September 2011

Tiada ulasan: